Pengarah SPRM negeri, Nasaruddin Mohd. Noor berkata, kertas siasatan tersebut diserahkan kepada ibu pejabat SPRM di Putrajaya minggu depan untuk dipertimbangkan sama ada pendakwaan dilakukan atau tidak.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan status siasatan tersebut termasuk kemungkinan berkaitan penyalahgunaan kuasa dan pengurusan kewangan dalam projek Bazar Tok Guru sehingga menyebabkan kerajaan negeri dilaporkan kerugian RM50 juta.
“Proses ini adalah kesinambungan siasatan yang lepas. Kita merancang untuk menyiapkannya hujung minggu ini dan dihantar ke ibu pejabat untuk tindakan susulan.
“Kita sudah mengumpul sebanyak mungkin maklumat baru dan mengambil keterangan beberapa lagi saksi,” katanya di pejabatnya, di sini hari ini.
Pada 15 Disember tahun lalu, Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil mengumumkan agensi tersebut menutup fail membabitkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Ariffahmi yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Ini ekoran Pejabat Peguam Negara mendapati tiada kes untuk pertuduhan membabitkan Nik Abdul Aziz dan menantunya itu.
Bagaimanapun, siasatan terhadap Abdul Ariffahmi belum ditutup dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Nik Aziz sebelum ini didakwa menerima wang tajaan RM65,000 untuk mengerjakan haji tahun lalu, manakala Abdul Ariffahmi pula berhubung pelantikannya sebagai CEO di PMBK.
Pada 5 November 2009, SPRM menyerbu pejabat perbadanan itu di Jalan Kuala Krai dan mengambil beberapa dokumen selepas bekas Pegawai Perhubungan Awam PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz membuat pendedahan mengenai penyelewengan yang berlaku dalam agensi kerajaan negeri itu.
No comments:
Post a Comment