Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Keluarga reda, harap jasad ditemui



KEMAMAN – “Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Allah SWT. Sudah tersurat saya dan ibu kehilangan adik, kami pasrah. Namun, berharap jasad adik dijumpai agar dapat disemadikan,” luah Mohd Shahidil Farhan Hassan, 24, dalam nada sebak.

Meskipun masih kelihatan lemah dan trauma, Mohd Shahidil Farhan tetap menggagahkan diri turun ke pantai tempat adiknya, Zainal Ikmal Abdullah, 12, yang dikhuatiri lemas ketika usaha mencari dan menyelamat adiknya itu giat dijalankan di pantai Kampung Geliga Baru, belakang Tadika Kemas Geliga, dekat sini, semalam.

Zainal Ikmal dikhuatiri lemas selepas ditarik ombak ganas ketika sedang leka bermain pasir bersama dua sepupunya, Mohd Adzim Shakirin Azhar, 12, dan Mohd Azrafiq Shazrin Azhar, 10, dalam kejadian di pantai yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah mereka itu, kira-kira jam 4.40 petang kelmarin.

Selepas lebih 24 jam hilang di laut, usaha mencari dan menyelamat mangsa yang juga murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Geliga itu masih belum menemui sebarang petunjuk.

Sehingga jam 6 petang semalam, usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Mengharapkan anak bongsunya berjaya ditemui dalam keadaan selamat, ibu mangsa, Azizah Yahya, 46, turut turun ke pantai bersama Mohd Shahidil Farhan ketika operasi mencari dan menyelamatkan dijalankan pada waktu pagi.

Namun, disebabkan keadaan ibu tunggal itu masih lemah, dia pengsan beberapa kali kerana terlalu sedih.

Malah, kata Mohd Shahidil Farhan, pada malam kejadian ibunya turut meracau kerana terlalu terkejut dengan kejadian itu.

“Melihat keadaan ibu, saya sangat sedih kerana badannya sekarang terlalu lemah. Kami sekeluarga sangat terkejut dengan kejadian ini,” katanya yang sejak kelmarin turut pengsan dan tidak sedarkan diri beberapa kali kerana terlalu sedih memikirkan keadaan adiknya.

Luahnya, dalam keadaan ombak ganas sejak kelmarin, sehingga ada ketika pukulan ombak mencecah dua meter, adalah mustahil adiknya itu dapat dijumpai dalam keadaan selamat.

Mereka sekeluarga bagai�manapun reda dengan ketentuan Tuhan, tetapi pada masa sama berdoa dan berharap agar jasad Zainal Ikmal dapat dijumpai segera supaya dapat disemadikan.

Sementara itu, dalam kejadian kelmarin, Mohd Shahidil Farhan yang dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh ibu saudaranya, segera berlari menuju ke pantai bagi menyelamatkan adiknya yang ketika itu telah hanyut dibawa arus sejauh kira-kira 100 meter dari darat.

Malah, sebelum terjun, dia juga sempat melihat kepala adiknya tenggelam timbul dengan tangan melambai meminta tolong.

Bagaimanapun, cubaan untuk menyelamatkan adiknya gagal, malah dia sendiri nyaris lemas dan hanya mampu berenang sejauh 50 meter dari darat akibat dihalang ombak.

Usaha mencari dan menyelamat mangsa yang diteruskan jam 8 pagi semalam dilakukan ke sekitar muara Sungai Kemaman hingga ke pantai Cherating, Pahang termasuk jarak lima kilometer dari tempat Zainal Ikmal dipercayai lemas.

Bagaimanapun, usaha mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan kira-kira jam 7.05 lewat petang semalam berikutan keadaan cuaca mulai gelap dan ombak besar.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman, Che Wan Mohd Razak Che Wan Besar, yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat mangsa sejak petang kelmarin berkata, usaha mencari akan diteruskan di sepanjang pesisir pantai pada waktu malam.

“Keadaan ombak tenang pada waktu pagi memudahkan kerja mencari dan menyelamat mangsa yang dimulakan kira-kira jam 8 pagi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Namun, katanya, operasi dihentikan seketika pada jam 12 tengah hari disebabkan air laut mulai pasang dan keadaan ombak besar, selain bagi membolehkan anggota menyelamat berehat sebelum operasi kembali diteruskan kira-kira jam 3.30 petang.

Operasi semalam turut dibantu enam anggota dari Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Tiga dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Penduduk terutama ibu bawa yang tinggal di sepanjang kawasan Pantai Kampung Geliga Baru dinasihatkan sentiasa mengawasi anak masing-masing, agar kejadian tidak diingini termasuk lemas dapat dihindari, sehingga terjadinya insiden meragut nyawa.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Geliga Baru, Noorhaliza Mushatfar berkata, dalam keadaan ombak besar sehingga boleh mencecah sehingga setinggi kira-kira tiga meter di sepanjang pantai itu, seharusnya pantai tidak dikunjungi dan tidak dijadikan tempat bermain bagi kanak-kanak mahupun orang dewasa.

“Keadaan laut bergelora dengan fenomena air pasang besar serta ombak ganas boleh mengancam keselamatan sesiapa sahaja.

“Seharusnya sepanjang musim tengkujuh ini, ibu bapa perlulah sentiasa memantau anak. Jangan biarkan mereka bermain di pantai kerana ombak besar boleh menarik kita sehingga ke tengah lautan,” katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment