Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Jeritan selamatkan nyawa



GEORGETOWN - Jeritan seorang warga emas yang ketakutan melihat api marak berjaya menyelamatkan nyawanya dan anak perempuannya yang kurang siuman daripada menjadi korban dalam kebakaran di Jalan Sungai di sini, awal pagi semalam.

Loh Poh Tian, 77, dan anak perempuannya berusia 22 tahun berjaya diselamatkan orang ramai selepas rumahnya dan lima rumah lain hangus dalam kejadian yang berlaku kira-kira 4.05 pagi semalam.

Poh Tian ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian berkata, dia masih lagi trauma dengan kejadian itu namun bersyukur kerana terselamat daripada kebakaran yang boleh meragut nyawa dia dan anaknya.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dan anaknya tidur nyenyak di dalam bilik namun dikejutkan dengan jeritan jiran-jirannya yang mengarahkan dia segera keluar dari rumah dan menyelamatkan diri.

Namun dia yang sudah tidak berupaya hanya mampu menjerit untuk meminta pertolongan dari orang ramai sebelum mereka dibawa keluar oleh jiran-jiran terdekat.

“Rumah saya dipenuhi dengan barangan kitar semula dan banyak barang yang mudah terbakar. Kalau saya lambat keluar dari rumah sudah pasti saya dan anak akan mati dalam keadaan yang mengerikan.

“Saya bersyukur dan ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada jiran yang membantu mengangkat saya dan anak keluar dari rumah walaupun sebenarnya nyawa mereka juga dalam keadaan bahaya,” katanya.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta milik seorang penghuni yang diletakan di hadapan rumahnya juga nyaris terbakar selepas api marak menyambar bahagian depan kereta itu.

Namun tindakan pantas pasukan bomba yang diketuai Pegawai Bomba Kanan 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Alyas Said berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan sekitar perumahan itu.

Alyas berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian kira-kira jam 4.10 pagi selepas menerima panggilan kecemasan dari orang awam.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian mendapati api sedang marak dan merebak begitu pantas kerana kebanyakan struktur rumah di kawasan itu dibina daripada kayu.

Selain itu, faktor kedudukan rumah bersebelahan yang dibina terlalu rapat juga merupakan antara punca api merebak dengan cepat.

“Ketika kejadian kesemua penghuni dilaporkan sedang tidur. Bagaimanapun tindakan pantas 15 anggota bomba dari Jalan Perak dan dibantu beberapa pasukan sukarela berjaya mengawal api yang sedang marak daripada terus merebak ke rumah lain.

“Api dapat dikawal kira-kira 10 minit kemudian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Jumlah kerugian serta punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pegawai penyiasat kebakaran,” katanya.
-sh

No comments:

Post a Comment