Search This Blog

Sunday, February 20, 2011

Jeritan sarjan selamat 89 jiran


FATIN Hamdan, 5, (kanan) bersama rakannya, Nurulerdina Zaharoi, 4, mencari barangan yang masih selamat selepas rumah mereka di kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa terbakar pagi tadi. - Foto Fathil Asri

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad, Taufiq Md Daud dan Hamzah Osman

2011/02/20

Mangsa, isteri melecur dalam kebakaran musnah 4 blok kuarters PGA 8

KOTA BHARU: Jeritan seorang sarjan Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menyelamatkan 89 jirannya daripada menjadi mangsa kebakaran dalam kejadian di Pengkalan Chepa, dekat sini awal pagi semalam yang memusnahkan empat blok kuarters PGA 8 itu.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, Ab Rahim Ya, 53, dan isterinya, Rahimah Mohamad, 47, melecur pada lengan kanan dan belakang, tetapi sempat menjerit meminta jiran menyelamatkan diri sebelum mereka dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Dalam kejadian itu, semua penghuni kuarters dihuni 16 keluarga yang dibina pada 1969 itu tinggal sehelai sepinggang, namun tiada kehilangan jiwa dilaporkan.
Ab Rahim, semua penghuni kuarters itu sedang tidur dan beliau dikejutkan isterinya yang tersedar daripada tidur apabila terhidu bau benda terbakar dan sebaik membuka pintu bilik, api sudah marak.

“Ketika cuba memadamkan api pada sebuah kerusi, sebahagian siling kediaman runtuh dan menimpa saya. Namun, kami bersyukur tiada kehilangan jiwa dalam kejadian ini walaupun saya cedera di muka, lengan dan belakang, manakala isteri melecur sedikit pada lengan kanan serta belakang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri/Keselamatan Awam (PGA/Keselamatan Sempadan/LTAB), Datuk Salleh Mat Rashid, berkata semua mangsa ditempatkan di kuarters baru yang sudah siap dibina bernilai lebih RM1 juta berhampiran tempat kejadian selain menerima bantuan lain.

Di KUALA TERENGGANU, seorang warga emas, Senik Sulong, 69, bersama dua cucu saudaranya tinggal sehelai sepinggang selepas kediamannya di Kampung Surau Haji Rahman, di sini musnah terbakar kira-kira jam 10.35 pagi semalam.
Penguasa Bomba Kanan Kuala Terengganu, Mohd Fathil Abdul Rahman yang mengetuai operasi memadam kebakaran itu, berkata api marak dengan pantas disebabkan rumah berkenaan dibina dengan kayu serta cuaca panas dan berangin.

Di LANGKAWI, enam sekeluarga turut menerima nasib sama apabila kediaman mereka hangus dalam kebakaran yang memus-nahkan tiga rumah berjiran di perkampungan nelayan Bukit Malut, kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.

Kejadian kedua dalam tempoh kurang dua bulan itu bagaimanapun tidak menyebabkan kehilangan jiwa kerana semua penghuni tiada di kediaman mereka.
Mangsa, Haironizar Shaari, 35, menganggarkan kerugian RM30,000.
Berita Harian Online | Jeritan sarjan selamat 89 jiran

No comments:

Post a Comment