Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Jambatan gantung runtuh



PASIR BESAR – Jambatan gantung yang menjadi laluan pintas sejak awal 80-an bagi penduduk setempat dari beberapa tanah rancangan dan kampung tradisi dekat sini, runtuh akibat kejadian banjir pada penghujung Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasir Besar, Ismail Mohd berkata, pada Ogos tahun lalu, pihak Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah mengadakan sesi lawatan bagi meninjau keadaan jambatan gantung berkenaan untuk digantikan dengan jambatan konkrit yang bernilai jutaan ringgit.

Malah menurutnya, berdasarkan tinjauan itu pihak berkaitan juga mengesahkan bahawa jambatan berkenaan menjadi laluan utama bagi sekurang-kurangnya 6,000 orang dari pelbagai penempatan, memandangkan ia adalah laluan yang paling hampir ke kebun mereka.

“Walaupun hanya motosikal yang melalui jambatan ini, namun ia tetap menjadi laluan utama penduduk, terutamanya pekebun kecil kerana mereka tidak perlu melalui jalan lain yang dianggarkan sejauh lima kilometer.

“Oleh itu, kita amat berharap agar rancangan bagi membina jambatan konkrit bagi menggantikan jambatan gantung ini dapat disegerakan memandangkan ia menjadi laluan utama bagi banyak penempatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, jambatan berkenaan bukan hanya tidak boleh digunakan kerana tersekat dengan kayu-kayu besar, bahkan di bahagian konkritnya juga runtuh susulan masalah hakisan.

Ismail berkata, dia hanya menyedari kerosakan itu semasa membuat tinjauan sekitar kampung setelah banjir surut dan terperanjat apabila mendapati jambatan berkenaan sudah dipenuhi sampah-sarap.

Menurutnya, ada penduduk kampung yang mendakwa, sebuah mesin mengorek pasir juga tersangkut di jambatan berkenaan dan telah dibawa keluar oleh pemiliknya.

“Oleh itu, amat besarlah harapan kami sebagai penduduk kampung dan pengguna laluan pintas ini agar kerajaan dapat menggantikannya dengan secepat mungkin.

“Malah, sekiranya boleh, kami juga masih menyimpan harapan agar jambatan gantung ini tetap ada, walaupun jambatan konkrit siap dibina, kerana ia menyimpan sejarah besar kampung ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment