Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Isu Mesir: Cubaan membisukan media

SH
Terpaksa berpatah balik ke Jeddah selepas menempuh perjalanan selama tiga hari untuk ke Kaherah, Mesir adalah sesuatu yang amat mengecewakan.

Penulis dan rakan media lain diarahkan pulang sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, malam kelmarin (waktu tempatan) di mana kamera dan peralatan penting kami dirampas oleh pihak imigresen Mesir.

Kerajaan Mesir kini galak menyasarkan petugas media yang tiba di negara itu bagi menghalang sebarang liputan dan berita mengenai protes di Kaherah, Iskandariah dan Suez ditontonkan kepada dunia.

Pihak berkuasa negara itu menapis orang ramai yang masuk ke Mesir seawal pesawat mendarat dan kami sendiri menyaksikan perkara ini apabila dilarang membuat liputan penghantaran pulang pelajar Malaysia di Mesir semasa mereka sedang menaiki pesawat C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia.

Masalah pertama timbul apabila bas yang sepatutnya membawa kami dari landasan ke terminal lapangan terbang dihalang hanya kerana kami cuba merakam gambar pelajar sedang menaiki pesawat tentera.
Bantuan dan kecekapan pihak TUDM mengendalikan masalah itu dengan pegawai Mesir di landasan membolehkan kami melepasi halangan pertama dan dibawa ke terminal tanpa sebarang masalah lanjut.

Kemudian muncul pula masalah kedua. Pihak Imigresen Mesir nyaris tidak membenarkan penulis dan seorang lagi rakan media daripada Astro Awani melepasi pemeriksaan kerana terdapat bukti kami pernah memasuki Genting Gaza, Palestin pada pasport kami.

Namun nasib menyebelahi kami apabila akhirnya dilepaskan selepas perbincangan dibuat antara pegawai Imigresen Mesir, tetapi barangan penting seperti kamera tetap dirampas.

Melangkah keluar daripada lapangan terbang, penulis melihat khemah putih besar yang disediakan kerajaan Malaysia bagi menempatkan ratusan pelajar Malaysia yang sedang menunggu giliran untuk menaiki pesawat ke Jeddah.

Dalam suasana malam yang sejuk di Kaherah, penulis dimaklumkan kami perlu melepasi 25 sekatan jalan raya untuk menuju ke bandar dari lapangan terbang kerana perintah berkurung di Mesir dari jam 6 pagi sehingga 5 petang.

Kebanyakan sekatan jalan raya ini dilakukan oleh penduduk Mesir sendiri dan beberapa sekatan lain dikawal oleh pihak tentera. Penulis juga dimaklumkan mengenai nasib wartawan lain dari Malaysia yang sudah berada di Kaherah lebih awal, di mana mereka ditahan, diacukan parang dan peralatan elektronik hampir dirampas oleh penduduk.

Ramai petugas media dari negara lain termasuk Barat yang sudah berada di Kaherah turut ditahan berkali-kali dan diarah meninggalkan negara itu secepat mungkin.

Tidak cukup dengan itu, perkhidmatan teksi dan hotel di Kaherah juga sukar didapati menyebabkan kami terpaksa bermalam semalaman di lapangan terbang sementara menunggu penerbangan pulang.
Lebih mengecewakan, kami dilarang sama sekali oleh pihak berkuasa daripada mengambil sebarang gambar di kawasan lapangan terbang walaupun hanya menggunakan kamera biasa.

Menurut cerita rakan media lain yang ditemui di lapangan terbang, wartawan mahupun orang awam juga tidak boleh merakam sebarang gambar di kawasan konflik di Kaherah dan saluran internet di bandar itu tidak stabil, menyebabkan kami mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan ke destinasi utama, Dataran Tahrir.

Namun, hari yang penuh dengan kekecewaan berakhir dengan sedikit kelegaan dan kegembiraan apabila penulis dihantar pulang ke Jeddah menaiki pesawat bersama-sama lebih 300 pelajar Malaysia, keesokan harinya.

Karenah birokrasi luar biasa pihak berkuasa Mesir membuktikan betapa kerajaan negara itu berusaha memutuskan hubungan Mesir dengan dunia luar dengan menjadikan petugas media sebagai sasaran bagi mengekang sebarang maklumat disampaikan kepada masyarakat antarabangsa. -Farah Zamira Farush Khan

No comments:

Post a Comment