Search This Blog

Monday, February 28, 2011

Isteri trauma dilanggar van




PEDAS - Seorang pemandu van cedera ringan selepas kenderaannya berlanggar dengan Proton Iswara Aeroback di kilometer 20.5 Jalan Seremban-Tampin dekat Pekan Pedas, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, van yang dipandu mangsa remuk teruk selepas melanggar belakang kereta berkenaan.

Suami kepada pemandu kereta terbabit, S Sitra, 28, yang enggan dikenali berkata, isterinya keluar rumah di Taman Sedia Raja, Chembong kira-kira jam 8 malam untuk membeli barang di kedai runcit Pekan Pedas.

“Saya bergegas ke tempat kejadian apabila dimaklumkan rakan bahawa isteri saya terlibat kemalangan.

“Mujurlah dia selamat dan tidak mengalami kecederaan namun trauma akibat kejadian berkenaan,” katanya.

Sementara itu jurucakap polis berkata, punca sebenar kejadian masih disiasat namun siasatan awal mendapati pemandu van dari arah Tampin ke Seremban dipercayai mengekori terlalu rapat lalu gagal mengawal kenderaan dan berlanggar dengan kereta.

“Akibat kejadian, pemandu van mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Rembau untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau menerusi talian 06-685 1999 atau 06-685 2222 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Sinar Harian difahamkan, pemandu van berkenaan masih belum membuat laporan polis.
SH

No comments:

Post a Comment