Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Ibu nekad selamatkan anak



KOTA BHARU - Seorang tukang rumah terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM150,000 apabila rumah dua tingkat, tiga pintu miliknya hangus dalam kebakaran di Jalan Long Yunus dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian itu juga menyebabkan dua keluarga terpaksa tinggal sehelai sepinggang setelah sebuah rumah milik mangsa yang turut disewakan kepada lima sekeluarga turut terbakar dan tidak dapat diselamatkan.

Kejadian tersebut disedari isteri pemilik rumah berkenaan iaitu, Aniza Awang, 45, kira-kira jam 11.40 malam setelah melihat api semakin marak dipercayai bermula dari rumah belakang yang disewa kepada seorang penjual roti.

Aniza berkata, setelah melihat api semakin besar dan memasuki ke ruang rumahnya dia menjerit meminta tolong dan mengejutkan dua anaknya, Noranis Azleen, 12 dan Mohd Fahmin, 7, yang ketika itu tidur.

“Saya panik kerana api menuju ke arah kami, tanpa berlengah lagi saya menggoncang badan anak-anak yang tidur dan mengambil dokumen penting kemudian menarik mereka untuk terus keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam kelmarin.

Sementara itu, suami mangsa, Mohd Ghazali Abdullah berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik mandi selepas pulang daripada bermain badminton dan menyedari rumahnya terbakar setelah mendengar jeritan isterinya.

“Saya dengar api, api, api dan kemudiannya melihat cahaya terang dari bahagian belakang rumah.

“Saya kemudiannya terus melaung menyuruh isteri bersama anak keluar dari rumah dan saya bersyukur kerana mereka sudah bergegas menyelamatkan diri,” katanya.

Mohd Ghazali juga memberitahu, beberapa hari sebelum kejadian dia ada meminta bayaran sewa bulanan daripada penyewa tersebut kerana sejak lima bulan lalu tidak dibayar.

“Sebelum kebakaran saya ada juga mendengar bunyi bising daripada rumah tersebut dan ketika kejadian juga penyewa terbabit tidak dapat dikesan.

“Sebenarnya saya pernah menyuruhnya keluar dan bekalan elektrik di rumah tersebut juga dipotong tetapi saya tetap bersyukur kerana tindakan cepat anggota bomba dan penyelamat berjaya mengelak daripada bengkel yang menempatkan petrol serta barangan pertukangan saya hangus

“Saya juga berterima kasih kepada penduduk di sini kerana membantu menyelamat kereta saya dan juga komputer daripada terbakar.

Sementara, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri, Annurrul Hakim Mohny berkata, seramai 35 anggota bomba bersama lima jentera termasuk unit bomba sukarela dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan telefon kira-kira jam 12.04 malam semalam.

“Kita mengambil masa sembilan minit untuk mengawal sepenuhnya kebakaran dan anggaran kerugian adalah kira-kira RM150,000 serta punca masih dalam siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment