Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Ibu lihat tangan anak terkapai



Oleh Kasdi Ali dan Mohd Saufi Hassan
bhnews@bharian.com.my
2011/02/07

ANGGOTA polis membawa mayat Mohd Abdul Aazar selepas ditemui lima kilometer dari tempat kejadian di Sungai Perak, semalam.
ANGGOTA polis membawa mayat Mohd Abdul Aazar selepas ditemui lima kilometer dari tempat kejadian di Sungai Perak, semalam.
Tiga murid lemas dihanyut arus deras ketika mandi di Sungai Perak

KUALA KANGSAR: Dua ibu hanya mampu melihat anak mereka terkapai-kapai sebelum lemas bersama seorang lagi murid selepas mereka dihanyutkan arus Sungai Perak ketika mandi di sungai itu berhampiran Kampung Pauh Pulai, Ara Panjang, Manong, dekat sini, kelmarin.
Seorang daripada ibu berkenaan, Siti Zaleha Abu, 43, berkata beliau cuba menyelamatkan Mohd Imran Rosli, 10, yang lemas bersama dua rakannya, Mohd Abdul Aazar Ibrahim, 10, dan Mohd Suhairi Suhai, 12, sebaik menyedari kejadian itu tetapi gagal.
“Saya cuba menyelamatkannya (Mohd Imran) tapi gagal kerana arus ketika itu deras manakala air di tempatnya lemas pula dalam.

“Berulang kali saya menjerit kepadanya supaya cuba berenang ke tebing tapi saya melihat anak saya itu bergelut di dalam air untuk terus timbul.

“Melihat keadaan itu, saya berlari ke tepi jalan berhampiran dan menjerit meminta tolong tetapi tiada sesiapa ketika itu dapat membantu.

“Sayu hati saya sebaik berpaling ke belakang apabila hanya kelihatan tangan anak dan dua lagi rakannya terkapai-kapai sebelum hilang,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Kuala Kangsar (HKK) di sini, semalam.
Semalam, polis mengesahkan ketiga-tiga murid berkenaan mati lemas dengan mayat Mohd Imran iaitu murid Sekolah Kebangsaan (SK) Wangsa Melawati, Kuala Lumpur dan Mohd Abdul Aazar iaitu murid SK Ara Panjang, Manong, masing-masing ditemui nelayan pada jam 7.15 pagi dan 12.15 tengah hari.

Mohd Suhairi iaitu murid SK Lempor, Manong pula ditemui sebaik kejadian berlaku pada jam 4 petang kelmarin, namun dia disahkan sudah meninggal dunia ketika tiba di HKK.

Siti Zaleha berkata, hatinya hancur luluh apabila dimaklumkan mayat Mohd Imran ditemui terdampar di Beting Pasir, Pulau Perdana, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian oleh seorang nelayan pagi semalam.

“Kami tinggal di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur dan datang bercuti di rumah keluarga Mohd Suhairi di sini sempena cuti Tahun Baru Cina.

“Saya tidak sangka percutian kami sekeluarga berakhir dengan tragedi dan kesedihan ini akan saya rasai sampai bila-bila,” katanya sebelum membawa pulang jenazah anaknya untuk dikebumikan di tempat asal keluarganya di Bentong, Pahang.

Sementara itu, kakak Mohd Imran, Siti Nurul Fatin Amira, 14, yang turut mandi berkata, kejadian berlaku apabila Mohd Suhairi dan Mohd Abdul Aazar cuba menyelamatkan adiknya yang dipercayai terpijak pasir jerlus sebelum dihanyutkan ke kawasan arus deras dalam keadaan ketiga-tiga mereka tenggelam timbul.

“Saya cuba pergi ke tempat mereka tapi berpatah balik kerana berasa pasir di dasar tiba-tiba jerlus dan airnya dalam. Saya trauma kerana gagal selamatkan adik,” katanya.

Ibu Mohd Suhairi, Khadijah Mohamad, 33, pula berkata beliau cuba turun ke sungai tetapi terpaksa berpatah balik apabila dirinya juga hampir tenggelam kerana tidak tahu berenang.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohamad, berkata mayat kedua iaitu Mohd Imran ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian manakala mayat Mohd Abdul Aazar ditemui terdampar di Pulau Semat, kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian, semalam.
Berita Harian Online | Ibu lihat tangan anak terkapai

No comments:

Post a Comment