Search This Blog

Friday, February 11, 2011

Ibu dibunuh penyamun

IPOH: “Setiap pagi, ibu akan keluar ke laman rumah mengutip bunga yang gugur untuk upacara agama. Itu rutin hariannya, namun saya tidak menyangka ‘tabiat’ itu mengundang padah kepadanya,” kata V Ganesan, 50, anak lelaki kepada J Sarojini, 73, warga emas yang ditemui terbunuh dalam kejadian samun di kediamannya di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 11.15 pagi di Taman Pertama, Jalan Silibin itu, mangsa ditemui mati di ruang tamu dengan kesan kecederaan parah di kepala dan muka dipercayai dipukul dengan senjata tumpul.

Lebih malang, wanita itu disamun dan dibunuh selepas selesai mengutip bunga yang gugur di laman rumahnya untuk upacara keagamaan.

Ganesan pemilik restoran berkata, dia pulang ke rumah kira-kira jam 11 pagi bagi menghantar sarapan dan sayur-sayuran kepada ibunya.

Menurutnya, sebaik tiba di depan rumah, dia terkejut apabila mendapati pintu pagar terbuka.


“Sebaik melangkah ke dalam rumah, saya terkejut apabila menemui ibu terbaring kaku di ruang tamu dengan keadaan muka dan badan tersembam ke lantai. “Saya turut memeriksa keadaan rumah dan mendapati semua bilik terdapat kesan selongkar. Beberapa barangan berharga turut hilang termasuk barang kemas milik ibu, telefon bimbit dan wang tunai,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Katanya, dia percaya perompak mengekori ibunya masuk ke dalam rumah sebelum menyamun dan membunuhnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes samun dan bunuh berikutan keadaan rumah mangsa yang berselerak dan terdapat kesan selongkar.

“Siasatan awal mendapati, beberapa barang berharga milik keluarga mangsa turut hilang dan kami masih lagi menjalankan siasatan lanjut termasuk menjejaki suspek.

“Ketika kejadian, mangsa tinggal bersendirian manakala semua anaknya keluar bekerja,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.


Katanya, polis memohon bantuan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau terlihat individu yang mencurigakan berkeliaran di kawasan itu semalam supaya tampil membantu siasatan.myMetro | Ibu dibunuh penyamun

No comments:

Post a Comment