Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Hasrat ulang kaji tergendala



ALOR SETAR - Lima sahabat terpaksa menangguhkan sesi ulang kaji pelajaran mereka apabila tiga rumah termasuk rumah yang disewa di Blok C, Taman Wira Mergong terbakar dipercayai akibat litar pintas, malam kelmarin.

Pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Mohd Khairun Nazwan Mohd Nasir, 20, berkata, sewaktu kejadian seorang lagi rakan mereka yang berada di ruang tamu rumah mengalami kecederaan di bahagian lengan.

Menurutnya, kejadian itu mula disedari apabila dia terlihat kepulan asap di bahagian bawah pintu bilik yang ditutup dan mereka segera menyelamatkan diri dengan keluar menggunakan pintu belakang.

“Saya cuba untuk memadamkan api dengan mengambil air namun tidak sempat apabila bekalan elektrik di rumah tiba-tiba terputus.

“Kejadian ini berlaku begitu pantas sehinggakan kami tidak sempat untuk menyelamatkan segala peralatan dan dokumen peribadi kerana masing-masing mahu menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui.

Pelajar semester empat jurusan Syariah itu berkata, kejadian itu juga menyebabkan lima daripada tujuh motosikal di rumah itu rentung gara-gara tidak sempat diselamatkan.

Syarifah Hasna Syed Kechik, 56, berkata, dia yang berada di rumah anaknya di Seremban menerima panggilan daripada jiran yang memaklumkan kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya, selepas mendapat panggilan dia segera pulang dan tiba di rumah kira-kira jam empat pagi semalam dan mendapati kebakaran itu telah memusnahkan bahagian hadapan dan dapur.

“Kebakaran yang berlaku ini turut menyebabkan kereta jenis Proton Saga Aeroback yang ditinggalkan di rumah terbakar.

“Saya tinggal di sini sejak 23 tahun yang lalu dan kini saya terpaksa menetap di rumah kakak yang tinggal di kawasan berhampiran,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah ketika meninjau mangsa kebakaran berkata, bantuan berupa kewangan, makanan dan selimut turut disampaikan kepada mangsa.

Beliau berkata, bantuan yang disampaikan itu bertujuan meringankan beban mangsa yang terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat.

“Kita juga berharap Kerajaan Negeri dapat segera membina rumah baru kepada mangsa supaya mereka dapat tinggal di rumah sendiri selepas menumpang di rumah saudara,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak, Md Nor Daud berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.52 malam dan menghnatar tiga jentera iaitu dua dari Jalan Tun Razak dan satu dari Jalan Raja dengan kekuatan 24 anggota.

Beliau berkata, anggotanya berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran dalam tempoh 12 minit.
-sh

No comments:

Post a Comment