Search This Blog

Thursday, February 3, 2011

Gudang terbakar, peniaga dakwa rugi RM5j



SERI KEMBANGAN 2 Feb. - Seorang pemilik gudang perabot terpaksa melupakan kegembiraan menyambut ambang Tahun Baru Cina petang ini apabila gudangnya yang terletak di Kilometer 10, Jalan Putra Permai di Seri Kembangan di sini musnah dalam kebakaran.
Kebakaran pada pukul 1 petang itu turut merencatkan hasrat Desmond Lim, 39, untuk menyambut perayaan itu esok apabila dia dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM5 juta.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.
Menurut Lim, kebakaran dipercayai bermula dari belakang gudang tersebut sebelum ia disedari oleh lima pekerjanya yang berada di hadapan gudang.
"Semua pekerja saya hanya sedar kebakaran itu selepas dimaklumkan oleh orang ramai. Mereka juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak begitu cepat.
"Kejadian ini telah memusnahkan semangat saya untuk menyambut Tahun Baru Cina esok tetapi saya mungkin akan menyambut juga dalam keadaan sederhana," katanya sedih ketika ditemui di tempat kejadian.
Lim memberitahu, gudang perabot tersebut dijadikan ibu pejabat kepada 10 buah kedai perabot miliknya sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, kebakaran tersebut bukan sahaja memusnahkan perabot tetapi semua dokumen perniagaan.
Sementara itu, Timbalan Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Serdang, Zolkipli Sailan, berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.41 petang dan tiba di lokasi lima minit kemudian.
Bagaimanapun, katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, sebahagian besar premis tersebut telah terbakar dan bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 16 minit.
Menurutnya, tugas tersebut dilakukan dengan bantuan 35 anggota dan lapan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang, Cyberjaya, Seri Kembangan dan Putrajaya dengan menggunakan lapan buah jentera.

No comments:

Post a Comment