Search This Blog

Monday, February 28, 2011

Dua sahabat mati tersepit dalam kemalangan ngeri




MARANG - Dua lelaki maut selepas terbabit dalam satu kemalangan ngeri dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Chendering, Kuala Terengganu di Kilometer 13.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan dekat Rusila di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, pemandu, Mohammad Shukri Awang, 41, bersama penumpang, Ismail Ibrahim, 38, maut di tempat kejadian apabila Toyota Corona dipandu terbabas, lalu terbalik selepas merempuh belakang lori yang diletakkan di tepi jalan.

Kereta mangsa terbalik dan remuk teruk pada bahagian hadapan akibat rempuhan kuat, menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dalam keadaan mengerikan, dan disahkan meninggal dunia selepas dikeluarkan dari kenderaan terbabit.

Nenek Ismail yang beralamat dari Kampung Bukit Batu Putih, Chendering, Kuala Terengganu, Sulong Abdullah, 82, ketika ditemui terkejut mendengar berita kematian cucunya itu selepas dimaklumkan mengenai kejadian terbabit oleh ahli keluarganya selepas kejadian.

Menurut Sulong, dia tidak menyangka cucu yang dijaga sejak kecil itu akan pergi buat selama-lamanya selepas kali terakhir melihat cucu kesayangannya keluar rumah untuk mendapatkan alat ganti motosikal, kira-kira dua minggu lalu.

“Dia (Ismail) minta wang sebanyak RM60 untuk beli barang motosikal sebelum keluar rumah pada hari itu tapi Tok ki beri dia RM100, takut tidak cukup untuk beli barang lain,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, semalam.

Sulong berkata, dia tidak menyangka sikap cucunya yang beria-ria untuk mendapatkan alat ganti motosikal baru di Kemaman sebelum kemalangan itu berlaku adalah tanda cucunya akan pergi meninggalkannya dan keluarga buat selama-lamanya.

Mangsa yang tidak bekerja merupakan anak kedua daripada lima beradik dan tinggal bersama Sulong.

Malah, Sulong turut menjaga tiga lagi adik mangsa manakala seorang lagi tinggal bersama anaknya, iaitu ibu mangsa di Kemaman selepas kematian bapa mereka.

Mangsa dalam proses dapat pas kerja

SEMENTARA itu, abang kepada pemandu, Mohammad Shukri dari Kampung Pengkalan Rajawali, Chendering, Kuala Terengganu, Mohammad Nazri Awang, 42, berkata, kehilangan adiknya itu begitu mengejutkan dan menyedihkan mereka sekeluarga.

Menurutnya, semua ahli keluarga masih tidak dapat menerima pemergian anak kelima daripada 12 beradik itu.

“Perkara paling menyentuh hati kami sekeluarga apabila terkenang dia (Mohammad Shukri) ketika ini sedang menjalani pemeriksaan kesihatan dan dalam proses untuk mendapat pas bekerja sebagai pengimpal besi di pelantar minyak,” katanya.

Mohammad Nazri berkata, adiknya bekerja sebagai pengimpal secara kontrak dengan syarikat-syarikat cari gali minyak yang beroperasi di darat mahupun di pelantar minyak sekitar perairan di Kemaman sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, dia juga tidak menyangka adiknya itu akan pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya memandangkan arwah begitu rapat dengan ibu mereka, Kuntum Said, 70-an selepas kematian bapa mereka beberapa tahun lalu.

“Saya jarang berjumpa dengan arwah kerana tinggal berasingan dengan ibu. Arwah juga jarang balik ke rumah ibu di Chendering kerana mempunyai rumah sewanya sendiri di Chendor dekat Kemaman,” katanya yang ditemui di HSNZ.

Sinar Harian juga difahamkan, kedua-dua mangsa mempunyai pertalian persaudaraan dan sangat rapat, malah Muhammad Shukri sering membawa Ismail tinggal bersama di Chendor.

Sahabat baik disemadi dalam satu liang

DATUK saudara Ismail, Hassan Mohamad, 67, turut merasai kehilangan kedua-dua mangsa memandangkan kedua-duanya bersahabat sejak kecil dan semakin rapat selepas Ismail terlibat dalam satu kemalangan beberapa tahun lalu.

“Kehilangan dua sahabat baik itu begitu dirasai semua ahli keluarga memandangkan mereka berdua adalah sahabat yang baik dalam ikatan persahabatan kerana setiap masalah yang mereka hadapi akan diselesaikan bersama,” katanya.

Hassan berkata, kedua-dua jenazah akan disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Chendering, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian kemalangan yang berlaku di kilometer 13.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Rusila itu.
SH

No comments:

Post a Comment