Search This Blog

Friday, February 4, 2011

Dua maut dalam tiga kemalangan berasingan



KUALA LIPIS 3 Feb. - Seorang kanak-kanak berusia setahun antara dua yang maut dalam tiga kemalangan yang berlaku dalam tempoh lima jam di Jalan Kuala Lipis-Merapoh malam tadi dan awal pagi ini.
Kemalangan yang berlaku antara pukul 10.30 malam hingga pukul 3 pagi itu mengakibatkan kanak-kanak itu, Anis Najwa Maisarah Abdul Rahim dan seorang penunggang motosikal warga Pakistan, Rahman Shahmin, 25, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, kemalangan pertama berlaku pada pukul 10.30 malam di Kilometer 53, berdekatan Kampung Petola dekat sini melibatkan sebuah motosikal yang ditunggangi Rahman bersama rakannya.
Ketika kejadian, kata beliau, mangsa yang datang dari arah Merapoh ke Kuala Lipis dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta.
"Rahman meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala rakannya yang merupakan pembonceng, patah kaki dan dirawat di Hospital Lipis.
"Semasa kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan ingin melawat rakan mereka di Padang Tengku dekat sini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, di sini hari ini.
Abdul Razak memberitahu, kira-kira lima jam kemudian, satu lagi kemalangan berlaku melibatkan sebuah kereta dengan bas ekspres Transnasional di Kilometer 43, berdekatan Felda Chegar Perah dekat sini.
Menurut beliau, kemalangan itu mengakibatkan kematian Anis Najwa Maisarah yang ketika itu menaiki kereta bersama neneknya, Khairimah Wook, 54, dan bapa saudaranya, Faizal Abdul Rahman, 30, dari Bandar Sunway, Petaling Jaya ke Machang, Kelantan.
Katanya, Khairimah yang cedera parah dirawat di Hospital Temerloh manakala Faizal yang memandu kereta itu, patah kaki dan dirawat Hospital Lipis.
Ketika kejadian tersebut, ujarnya, bas ekspres dari arah Kota Bharu ke Seremban itu membawa 33 penumpang dan dua pemandunya tidak mengalami kecederaan.
Dalam kemalangan ketiga, kata Abdul Razak, sebuah bas ekspres terbabas ketika menuruni bukit di Kilometer 59, laluan yang sama pada pukul 3 pagi.
Bagaimanapun, katanya, kesemua 27 penumpang dan pemandu bas Trans Rengit yang dalam perjalanan dari Shah Alam ke Kota Bharu itu tidak mengalami kecederaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan supaya berhati-hati dan mengambil tindakan awal seperti berhenti rehat sekiranya mengantuk.
"Jalan Kuala Lipis-Merapoh agak sesak setiap kali cuti perayaan apabila ramai yang mengambil peluang pulang ke kampung kerana bercuti panjang," katanya
UTUSAN


No comments:

Post a Comment