Search This Blog

Sunday, February 20, 2011

Dua lelaki serah diri


KUALA LUMPUR: Dua lagi rakan pelakon drama popular ditahan polis berhubung kes mengugut dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat mengenai perkahwinan pelakon itu menggunakan sindiket nikah palsu.
Difahamkan, kedua lelaki terbabit ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, kira-kira jam 8 pagi semalam.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, suspek berusia 30-an itu tampil menyerah diri selepas menyedari pelakon berusia 43 tahun itu menyerah diri kelmarin.
“Kedua-dua lelaki terbabit direman lima hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. “Bagaimanapun, seorang lagi rakan pelakon yang dipercayai turut sama mengugut dua pegawai penyiasat SPRM berkenaan, Isnin lalu, masih diburu polis,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Zakaria berkata, pihaknya berharap lelaki terbabit turut menyerah diri kepada polis bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Namun, ketika diminta mengulas sama ada ‘Abang Joe’ yang mendakwa dia pegawai khas Ketua Polis Negara antara yang tampil menyerah diri semalam, beliau enggan mendedahkan perkara itu.
Semalam, Harian Metro melaporkan, pelakon drama bersiri yang popular ditayangkan di sebuah stesen televisyen swasta itu tampil menyerah diri di Balai Polis Kepong kira-kira jam 10 pagi sebelum ditahan bagi membantu siasatan.

Pelakon terbabit sebelum ini dipanggil SPRM untuk membantu siasatan satu sindiket pernikahan palsu didalangi seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan empat lelaki lain berikutan dia menggunakan khidmat sindiket itu untuk pernikahan keduanya.
Pertemuan pelakon terbabit dengan dua pegawai SPRM yang mahu mengambil keterangannya diadakan di sebuah kafe di Danau Kota, di sini, kira-kira jam 11.20 malam Isnin lalu.

Namun, Abang Joe dipercayai bertindak kasar dengan mengarahkan dua pegawai SPRM terbabit menghentikan siasatan ke atas pelakon itu dan mengugut dengan mengatakan akan membunuh mereka.

Berikutan ugutan itu, kedua-dua pegawai penyiasat SPRM itu membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini.myMetroDua lelaki serah diri

No comments:

Post a Comment