Search This Blog

Thursday, February 3, 2011

Dua beranak ditemui rentung





ANGGOTA bomba menemui dua mayat yang rentung dalam kebakaran sebuah rumah di kampung Bulut Kokol, Menggatal, malam semalam.


KOTA KINABALU 2 Feb. - Dua beranak ditemui rentung selepas terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Bulut Kokol, Menggatal di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam, mayat Salibun Gadamin, 47, dan anak lelakinya, Rodbinson, 2, ditemui terbaring bersebelahan di bawah sisa-sisa kebakaran oleh pasukan bomba dan penyelamat.
Bagaimanapun, isteri Salibun serta dua lagi anak mereka sempat menyelamatkan diri dalam kejadian itu dan hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, ketika kejadian, rumah kampung yang tidak mempunyai bekalan elektrik itu didiami lima sekeluarga terbabit.
"Kita percaya mangsa dan anak lelakinya yang sedang tidur dalam sebuah bilik terperangkap dalam kebakaran itu selain terhidu asap tebal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk bedah siasat.
Tambah beliau, isteri mangsa yang melecur di badan turut menerima rawatan di hospital yang sama.
Dalam pada itu, Ahmad Sofi berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya kebakaran berpunca daripada api lilin.
"Kita masih menyiasat punca kebakaran dan setakat ini kita percaya kejadian tersebut tidak mempunyai unsur jenayah," katanya.
Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Mohamad Nor Amit berkata, dua jentera bomba bersama 20 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan.
"Pihak kami menerima panggilan pada pukul 11.02 malam dan berjaya mengawal kebakaran pada pukul 11.40 malam.
"Buat masa ini kita masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami penghuni rumah itu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment