Search This Blog

Monday, February 28, 2011

Berperangai pelik sebelum hilang




SERI ISKANDAR - “Saya tidak menyangka sikap anak yang agak berlainan sebelum kami keluar memancing menjadi tanda dia akan hilang,” demikian kata bapa saudara kepada mangsa hilang, Amang Jamil Ngah Lambut, 30, di kawasan hutan lombong Bandar Universiti pada 25 Februari lalu.

Bapa saudara, Ngah Man Ngah, 54 berkata, pada hari kejadian, dia bersama anaknya, dua rakan dan Amang Jamil keluar untuk memancing di lombong Bandar Universiti.

Menurutnya, mereka berlima yang tinggal di Kampung Sungai Perah, Parit sampai di lombong itu kira-kira jam 6 petang.

“Setibanya di sini, Amang mengikut saya dari belakang.

“Tiba-tiba dia mahu membuang air, lalu anak saya menemaninya sementara saya bersama dua lain, Kunar Baharum, 37 dan Yunus Hitam, 50 meneruskan perjalanan,” katanya ketika ditemui semasa gerakan mencari mangsa.

Ngah berkata, anaknya, Musandi Ngah Man, 24, berasa bimbang apabila mangsa tidak muncul dan pergi mencari Amang di tempat dia membuang air namun, tiada.

:Menurutnya, anaknya memberitahu mengenai perkara itu kepadanya lalu mereka berusaha mencari mangsa.

“Kami mencari pula di tempat letak kereta dan menjumpai selipar kepunyaan Amang.

“Kami mengambil keputusan melaporkan kehilangan itu kepada pihak polis pada 26 Februari (kelmarin),” katanya.

Dia berkata, sikap Amang berubah sebelum mereka berlima keluar memancing pada petang itu.

Katanya, Amang tidak banyak bercakap mungkin bersedih dengan kehilangan neneknya seminggu yang lalu.

“Saya bimbangkan keselamatannya kerana Amang mempunyai masalah mental,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa jam 1 tengah hari pada 26 Februari dan gerakan mencari segera dilakukan di kawasan terlibat.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat diteruskan dengan dibantu 93 orang termasuk Ikatan Relawan Rakyat (Rela), pertubuhan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Universiti, masyarakat Orang Asli, unit anjing pengesan dan Pasukan Gerakan Am.

“Operasi dihentikan pada jam 2.45 petang setelah orang hilang dijumpai di Seri Iskandar,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment