Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Berjudi di kebun sawit



BATU PAHAT – Polis berjaya mematahkan satu sindiket perjudian yang berselindung di sebalik kebun sawit dalam satu serbuan di Tongkang Pecah, di sini, pada 26 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Polis Daerah Batu Pahat daripada Unit D7 itu dilakukan hasil maklumat orang ramai dan siasatan yang dibuat sebelumnya.

Menurutnya, polis berjaya menahan dua lelaki warga tempatan di samping merampas peralatan perjudian seperti 31 mahjung; tiga buah dadu; 23 chee bulat warna hijau; dan enam chee bulat warna kuning.

“Polis juga merampas 14 chee bulat warna merah jambu, 12 chee bulat warna merah, dua batang kayu chopstick, lima helai kertas kanvas putih dan wang tunai berjumlah RM189.

“Turut dirampas sebuah meja bulat berkaki besi; empat kerusi plastik; satu lampu kalimantang; satu bateri kereta; dan sehelai kanvas. Lelaki yang ditahan juga mengaku bermain judi dengan mempertaruhkan wang,” katanya.

Ibrahim ketika ditemui dalam sidang media selepas program Sepagi Bersama Polis dan Pemimpin Masyarakat Setempat (Community Policing) bagi Kawasan Senggarang, di sini, semalam.

Turut Hadir di majlis itu adalah Timbalan Ketua Polis, Superintendan Adnan Azizon.

Katanya, lelaki yang ditahan itu akan disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sebanyak RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, polis juga berjaya menahan dua lelaki pada 1 Februari lalu kerana dipercayai terlibat dalam enam kes pecah rumah di sekitar Batu Pahat.

Ibrahim berkata, dua lelaki terbabit ditahan di Jalan Panchor, Batu Pahat hasil daripada risikan dan maklumat orang ramai.

“Kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman 14 tahun penjara,” katanya.

No comments:

Post a Comment