Search This Blog

Monday, February 7, 2011

Bawa bot kayuh guna galah selamatkan adik



Khadijah Mohamad menyiram air ke pusara anaknya, Mohd. Suhairi Sahai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lempor, Kuala Kangsar, Perak, semalam.


KUALA KANGSAR 6 Feb. - Seorang pemuda yang mendengar jeritan meminta tolong dalam kejadian tiga budak lemas di Sungai Perak di Kampung Pauh, Ara Panjang dekat sini semalam, segera menggunakan bot yang dinaikinya untuk menyelamatkan salah seorang daripada mangsa.
Mohd. Solehin Ibrahim, 19, segera mengayuh bot itu dengan galah untuk menyelamatkan salah seorang mangsa, Mohd. Suhairi Sahai, 12, yang lemas kira-kira 500 meter dari tempat kanak-kanak itu mandi sebelum dihanyutkan arus deras.
Dia yang merupakan abang kepada seorang lagi mangsa, Mohd. Abd. Aazar, 10, kemudian cuba memberi bantuan kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Lempor itu, namun tidak sempat kerana mangsa disahkan telah meninggal dunia.
"Saya langsung tidak menyangka salah seorang daripada mangsa yang lemas dalam kejadian itu adalah adik saya.
"Saya seakan tidak percaya adik turut lemas dalam kejadian itu. Tidak berapa lama sebelum kejadian, saya baru sahaja bersama dia datang ke sungai itu sebelum adik saya mandi bersama rakan-rakannya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Mohd. Abd. Aazar, Mohd. Suhairi lemas ketika cuba menyelamatkan seorang lagi kanak-kanak, Mohd. Imran Rosli, 10, yang dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai itu petang semalam.
Mohd. Suhairi ditemui pukul 5 petang semalam, manakala mayat Mohd. Imran dan Mohd. Abd. Aazar ditemui hari ini.
Sementara itu, ibu kepada Mohd. Suhairi, Khadijah Mohamad, 33, begitu sedih dengan berita itu dan tidak menyangka ia menimpa anak bongsu daripada enam beradik itu.
Namun, dia bersyukur kerana anaknya dijumpai lebih awal berbanding rakannya yang lain dan berterima kasih atas bantuan yang dilakukan semasa menyelamatkan anaknya.

No comments:

Post a Comment