Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Banjir paling buruk dialami



MUAR – Ramai penduduk kampung di Ledang dan Muar terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di daerah berkenaan selepas paras air meningkat di Sungai Chohong dan Sungai Muar.

Pada masa ini, Ledang mencatatkan 5,000 mangsa manakala Muar 2600 mangsa dan berkemungkinan akan meningkat bergantung kepada paras air di Sungai Muar.

Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani berkata, walaupun hujan sudah berhenti sejak Isnin lalu tetapi paras air di Sungai Muar meningkat disebabkan limpahan air dari Segamat dan Labis.

Menurutnya, paras air Sungai Muar di Bukit Kepong pernah mencatatkan ketinggian sehingga 6.41 meter iaitu sekali ganda lebih tinggi dan melepasi paras bahaya iaitu pada tahap 3.04 meter.

“Mengikut rekod Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air banjir pada tahun ini sangat tinggi dan lebih teruk daripada banjir besar pada 2006.

“Kami mahu semua penduduk yang tinggal berhampiran kawasan sungai supaya membuat persediaan sekiranya mereka dikehendaki untuk berpindah sebagai langkah keselamatan,” katanya ketika melawat pusat pemindahan banjir di Pagoh, Lenga dan Bukit Kepong, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mendesak ibu bapa supaya sentiasa memantau aktiviti anak dan jangan membiarkan mereka berseronok bermain banjir.

Mislan berkata, selain itu, walaupun Jabatan Kesihatan ada menghantar pasukan perubatan untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan dan perubatan kepada mangsa banjir tetapi keutamaan akan diberikan kepada wanita hamil serta warga emas.

Beliau berkata, sementara itu, di Ledang, Jalan Jementah-Segamat berhampiran Kilometer 12 dan Jalan Chohong-Tangkak telah ditutup kepada kenderaan ringan serta pengguna diminta supaya mencari jalan alternatif.

Jurucakap Pusat Pemindahan Banjir di Ledang berkata, Jalan Tangkak-Chohong sudah dinaiki air dan terpaksa ditutup atas sebab-sebab keselamatan.

“Penduduk kampung dan pemandu kenderaan dinasihatkan supaya menggunakan jalan Kampung Lipat Kajang jika mereka mahu pergi ke Tangkak dari Chohong,” katanya.

Pada lawatan berkenaan beliau diiringi Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli; Pegawai Kanan Pejabat Kesihatan Muar, Dr Zulkipli Othman.

No comments:

Post a Comment