Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Banjir di Johor dijangka pulih minggu depan





2011/02/06


  • Foto
    HELIKOPTER Maritim Malaysia digunakan untuk membawa bekalan makanan ke pusat pemindahan mangsa banjir di beberapa kawasan di Pagoh.
  • Foto
    SHAHRIZAT membantu penduduk Taman Sungai Gemas membasuh pakaian yang kotor selepas kawasan berkenaan dilanda banjir beberapa hari lalu.
Sungai Muar, Ledang dan Batu Pahat masih pada paras bahaya

JOHOR BAHRU: Banjir yang sedang melanda daerah sekitar Johor Utara ketika ini, mampu pulih minggu depan, jika cuaca panas berterusan dengan paras sungai semakin surut.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Johor berkata, ketika ini, walaupun tiada hujan ketika ini, paras air masih meningkat di sekitar daerah Muar, Ledang dan Batu Pahat berikutan aliran sungai terutama dari Segamat memasuki Sungai Muar menyebabkan limpahan berlaku.
Beliau berkata, walaupun tiada hujan direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai sekitar tiga daerah terbabit masih pada paras bahaya.

"Muar mencatat bilangan mangsa tertinggi apabila meningkat kepada 10,289 mangsa berbanding 9,226 semalam (kelmarin) diikuti Batu Pahat 8,521 manakala 7,430 masih mendapat perlindungan di Ledang.

"Secara keseluruhan, sehingga jam 12 tengah hari semalam, 29,501 mangsa banjir masih ditempatkan pada 121 pusat pemindahan banjir seluruh negeri. Ketika ini, pusat pemindahan yang dibuka membabitkan satu di Mersing, Ledang (23), masing-masing 29 di Segamat dan Muar; Batu Pahat (39)," katanya.

Maklumat sesawang JPS menunjukkan sehingga jam 12 tengah hari semalam, Sungai Muar masih mencatat paras bahaya iaitu Kampung Awat dan Buluh Kasap, selain Sungai Bekok di Empangan Bekok dan Sungai Simpang Kiri di Sri Medan. Selain itu, 15 lokasi kajian hujan seluruh negeri tidak merekodkan sebarang hujan sejak tengah malam kelmarin. 
Di GEMAS, Skuad Sayang Wanita Barisan Nasional (BN) semalam melancarkan operasi besar-besaran turun padang menjadi sukarelawan bagi membantu membersihkan kediaman mangsa banjir di semua kawasan yang terjejas di seluruh negara.

Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata semua anggota Skuad Sayang di kawasan yang dilanda banjir terutama di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka sudah dikerahkan memulakan operasi semalam.

"Selain bantuan makanan serta pakaian yang disalurkan agensi kerajaan dan swasta, mangsa banjir memerlukan pertolongan dalam bentuk tenaga manusia bagi membantu mereka mencuci kawasan kediaman yang kotor akibat banjir.

"Ia bukan kerja ringan kerana memerlukan tenaga manusia yang ramai untuk melakukannya. Jika tidak, keluarga mangsa banjir terpaksa mengambil masa lama untuk kembali menjalani kehidupan seperti sebelumnya," katanya ketika melawat mangsa banjir di Taman Sungai Gemas di sini, semalam.

Di PAGOH, kira-kira 1,500 penduduk beberapa kampung sekitar Bukit Kepong dan Kundang Ulu yang terputus hubungan darat akibat banjir, menerima bantuan makanan yang dihantar helikopter milik Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Penghantaran keperluan makanan dan minuman itu dibuat sejak Jumaat lalu dengan melakukan pendaratan di beberapa pusat pemindahan banjir yang turut terputus hubungan dan sukar dilalui dengan bot.

Setiausaha UMNO bahagian Pagoh yang menyelaras penghantaran bantuan melalui helikopter itu, Aziz Hashim, berkata lapan penghantaran menggunakan helikopter dijalankan dalam tempoh dua hari ke pusat pemindahan itu yang turut diagihkan kepada penduduk berhampiran yang terputus hubungan.

Katanya, antara kampung terputus hubungan termasuk Kampung Kundang Ulu, Kampung Cina, Kampung Melayu, Parit Sawah, Parit Simpang dan Parit Punggur dalam mukim Kundang Ulu, manakala kawasan Bukit Kepong pula membabitkan Kampung Kechik, Bukit Bendar, Sungai Meda serta Kampung Raja. 

No comments:

Post a Comment