Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Bakal ibu maut dalam kemalangan




JENAZAH Rodiah dibawa keluar oleh ahli keluarga dari Hospital Dungun semalam.


DUNGUN - Kegembiraan seorang wanita sarat mengandung yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri kenduri di rumah rakannya bertukar tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 22, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 4.45 petang itu, mangsa, Rodiah Mohd. (gambar), 25, yang mengandung lapan bulan bersama suaminya, Zuhairi Abdullah, 27, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar AMBS selepas menghadiri kenduri di rumah rakan di Felda Ketengah Jaya di sini.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Zuhairi gagal dikawal dan terbabas ke kanan jalan sebelum terhumban ke dalam gaung.
Akibat kejadian itu, mangsa yang bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di Pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) meninggal dunia akibat pendarahan dalam badan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Dahlan Mohd. Noor berkata, suami mangsa pula mengalami patah kaki kanan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, mangsa yang mengandung anak sulung itu dikejarkan ke Klinik Ketengah Jaya sebelum dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan kecemasan.
"Mangsa yang mengalami pendarahan dalam badan disahkan meninggal dunia di Hospital Dungun kira-kira pukul 6.15 petang semalam (kelmarin)," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sementara itu, kakak mangsa, Rotina Mohd., 37, berkata, adiknya itu memang tidak sabar untuk menimang cahaya mata pertamanya yang bakal dilahirkan bulan depan.
"Sebelum ini dia pernah mengalami keguguran dan sebab itu arwah begitu teruja apabila dia bakal melahirkan anak sulungnya.
"Lagipun, arwah juga ada memberitahu saya yang dia telah memilih nama untuk bayi dalam kandungannya itu dan telah membuat segala persiapan bersalin," ujarnya ketika ditemui di Hospital Dungun di sini.
Menurut Rotina, dia telah berjanji kepada arwah ketika mereka bertemu minggu lalu untuk menjadi pengasuh kepada bayi yang bakal dilahirkan oleh adiknya itu.
"Tidak sangka pula mata sebelah kiri saya yang tidak berhenti berkelip sejak minggu lalu membawa petanda saya akan kehilangan orang tersayang," ujarnya.

No comments:

Post a Comment