Search This Blog

Monday, February 28, 2011

Arwah seorang periang, rajin: Ibu




BUKIT BERUNTUNG - “Arwah seorang yang periang dan mudah didekati malah rajin bekerja walaupun baru enam bulan bekerja di bengkel ini,” kata Kamanshah Md Rejab, 41, rakan mangsa kemalangan maut, Allahyarham Saiful Azidi Radzali, 41.

Kamanshah berkata, Saiful Azidi tidak pernah mengeluh bila ditugaskan untuk mendapatkan bekalan alat ganti jentera berat di sekitar Lembah Klang yang menjadi tugas utamanya.

Malah katanya, anaknya itu tidak merungut walaupun menyedari tugas itu akan mengambil masa hingga ke tengah malam.

“Arwah biasanya ditugaskan untuk ke beberapa kedai pembekal alat ganti jentera seperti di Puchong, Cheras, Shah Alam dan sekitar Kuala Lumpur.

“Kerja ini biasanya selesai sehingga ke waktu malam walaupun waktu bekerja setakat jam 5 hingga 7 petang sahaja, tetapi arwah tidak pernah mengeluh,” katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan.

Saiful Azidi meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala setelah tersepit dalam kenderaan pikap dipandunya yang terbabit kemalangan di Kilometer 432 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur keluar Plaza Tol Bukit Beruntung kira-kira jam 7.56, malam, semalam.

Kamanshah berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya pada jam 1 petang kelmarin untuk bertanyakan keadaannya setelah mendapat tahu mangsa pulang lewat daripada kerja malam hari sebelumnya.

Menurutnya, rutin harian arwah membuktikan komitmen anaknya dalam kerjanya.

“Kami sedih kerana arwah meninggal di usia muda dan masih belum berkeluarga.

“Khidmatnya masih diperlukan kerana dia seorang yang baik hati, rajin dan tidak pernah membantah,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa yang hanya dikenali sebagai Blaat, 32, berkata, pada kebiasaannya Saiful Azidi akan menghubunginya untuk memaklumkan kunci motosikal yang ditinggalkan di bengkel sebelum keluar menggunakan kenderaan syarikat.

Namun, kelmarin Blaat memberitahu, arwah langsung tidak menghubunginya dan berkemungkinan membawa bersama kunci motosikalnya.

“Biasanya motosikal ditinggalkan di bengkel dan saya yang selalu jaga. Tetapi, pagi tadi (kelmarin) dia tidak beritahu apa-apa.

“Dan, kami terkejut setelah mendapat tahu dia terlibat dalam kemalangan dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Kesemua rakan Allahyarham sepakat menghubungi ibu bapanya ketika itu bagi memaklumkan mengenai kejadian malang berkenaan.
SH

No comments:

Post a Comment