Search This Blog

Friday, February 4, 2011

Artis antara 200 pengunjung terkejut disko diserbu polis



KUALA LUMPUR 3 Feb. - Sekumpulan artis tempatan yang merupakan antara kira-kira 200 pengunjung sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang di sini terkejut apabila premis tersebut diserbu polis awal pagi ini.
Serbuan pada pukul 2 pagi itu dilakukan serentak terhadap lima pusat hiburan yang didapati membenarkan pengunjung bawah umur memasuki premis berkenaan.
Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap kesemua pusat hiburan tersebut, seramai 14 remaja bawah umur ditahan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, operasi yang diketuai oleh beliau sendiri dilakukan bersama 70 anggota.
Menurutnya, operasi tersebut dilakukan selepas orang ramai membuat aduan berhubung tindakan premis berkenaan membenarkan kemasukan remaja bawah umur.
"Selain itu, polis turut melakukan pemeriksaan terhadap pengunjung yang berada di bawah pengaruh dadah.
"Hasilnya, kita menahan seramai 22 pengunjung daripada kesemua premis kerana positif mengambil dadah," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau menambah, dalam serbuan mengejut itu, pihaknya turut melakukan pemeriksaan terhadap beberapa artis tempatan tetapi tiada yang ditahan.
Zulkarnain memberitahu, kesemua mereka yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.
-utusan

No comments:

Post a Comment