Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Anggota tentera maut nahas



TANAH MERAH – Seorang anggota tentera yang pulang bercuti sempena Tahun Baru Cina maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Kilometer 70, Jalan Kota Bharu, Machang-Jeli petang, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu, menyebabkan mangsa, Mohd Azuiwan Abdul Ghani, 23, cedera kepala dan meninggal di Hospital Tanah Merah, kira-kira jam 10.30 malam.

Ketua Polis Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Batu Gajah ke Panglima Bayu.

“Sebaik tiba di simpang, sebuah kereta hadapan mangsa memberi lampu isyarat masuk ke kanan.

“Mangsa yang menunggang motosikal sendirian dari arah sama melanggar kereta dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dari Kemahang dan terjatuh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abdul Aziz berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ibu mangsa, Normah Yatim, 45, berkata, rakan arwah memberitahunya dia menunjukkan perangai pelik dengan membelanjakan rakannya minum, sebaliknya dia sendiri tidak memesan minuman.

“Kebiasaannya, rakan-rakanya memberitahu makcik dia tak begitu, tetapi kali ini, selepas belanja rakannya, dia menghilangkan diri.

“Petang hari kejadian juga, dia bersama-sama rakannya menunggang motosikal ke Tanah Merah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Normah berkata, dia turut melihat sedikit perubahan pada anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Menurutnya, arwah yang baru setahun menyertai angkatan tentera itu adalah seorang yang periang dan agak rapat dengannya,

“Arwah turut menunjukkan sedikit perubahan sikap, biasanya dia banyak cakap, tetapi hari kemalangan dia lebih banyak berdiam diri.

“Saya tidak menyangka itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga,” katanya yang hanya sempat melihat jenazah anaknya di Hospital Tanah Merah.

Normah berkata, arwah juga turut menunjukkan keadaan kuku kakinya kesan aktif berlawan bola sepak kepada kakaknya memandangkan dia pulang kali ini selepas menyertai perlawanan.

Jenazah, Azuiwan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Panglima Bayu jam 12 tengah hari, semalam.

-sh

No comments:

Post a Comment