Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

Ancaman lubang tiga meter



FELDA SELASIH - Pada peringkat awal kejadian secara tiba-tiba air memancut keluar dari perut bumi di Felda Selasih dekat Jabi akhir tahun lalu, ia menjadi perhatian orang ramai dan ada menganggap ia kejadian misteri.

Kemunculan air yang keluar membuak-buak itu berlaku di belakang dapur rumah salah seorang peneroka di sini Saudah Abd Rashid, 58, bermula akhir Disember lalu menjadi tanda tanya kepada orang ramai dari mana puncanya.

Menantu Saudah, Wan Nor Wan Hassan, 38, berkata, pada mulanya ramai yang hairan dan tertanya-tanya dari mana munculnya air itu, sedangkan di kawasan itu tidak ada saluran paip.

“Ketika itu, kawasan rumah dipenuhi orang ramai yang datang untuk melihat pancutan air tersebut yang terletak hanya kira-kira enam meter di belakang dapur rumah ibu mentua saya itu,” katanya.

Wan Nor berkata, bagaimana keadaan itu bertukar menjadi kebimbangan kepada dia sekeluarga apabila berlaku mendapan membentuk lubang sedalam kira-kira tiga meter di kawasan pancutan air itu.

Menurutnya, hari demi hari lubang di kawasan mendap semakin luas yang membentuk seakan-akan sebuah perigi atau kolam, manakala di dasar lubang itu pula terdapat aliran air.

Enam sekeluarga yang tinggal di rumah itu sekarang bimbang jika mendapan tanah di situ bertambah luas memandangkan ia terletak tidak jauh dengan dinding dapur rumah Saudah.

“Kawasan tanah mendap itu telah dipagar dengan kayu untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku, manakala kejadian pancutan air itu kini terjawab,” katanya.

Sementara itu Pengurus Felda Selasih, Kamaruddin Ahmad berkata, beberapa agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah, Jabatan Geologi dan Syarikat Air Terengganu (Satu) telah membuat pemeriksaan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat bahagian aliran air di kawasan tinggi tersumbat menyebabkan ia tersekat.

Air kemudiannya mengalir keluar melalui tanah lembut atau berpasir seterusnya menyebabkan tanah mendap akibat struktur tanah tidak padat.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali dan agensi berkaitan telah bersetuju untuk membina longkang di kawasan terbabit untuk mengalirkan air di bawah tanah itu untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment