Search This Blog

Monday, February 7, 2011

8 sukarelawan kita ditahan di Mesir



Oleh Sazarina Shahrim dan Syed Azwan Syed Ali
bhnews@bharian.com.my
2011/02/07

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberi taklimat kepada pelajar Malaysia yang dipindahkan dari Mesir melalui Ops Piramid di Pusat Transit Tabung Haji Madinatul Hujjaj Jeddah, semalam.
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberi taklimat kepada pelajar Malaysia yang dipindahkan dari Mesir melalui Ops Piramid di Pusat Transit Tabung Haji Madinatul Hujjaj Jeddah, semalam.
Penunjuk perasaan, pihak berkuasa cuba halang misi hantar makanan

PUTRAJAYA: Lapan rakyat Malaysia termasuk sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia ditahan kumpulan penunjuk perasaan dan pihak berkuasa Mesir kerana didakwa cuba membawa bekalan makanan kepada penunjuk perasaan.
Kumpulan itu ditahan tiga kali ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah ke Rumah Malaysia Abasiah untuk menghantar bekalan bantuan makanan kepada pelajar Malaysia di situ.
Mereka ditahan sekitar jam 2 pagi kelmarin apabila melalui jalan berdekatan istana Presiden Mesir, Hosni Mubarak oleh pihak berkuasa Mesir.

Malah, dalam insiden itu, pihak terbabit cuba merampas bekalan makanan kering seberat 10 tan yang diangkut menggunakan empat lori sewa diiringi teksi dan bas yang membawa lapan sukarelawan Malaysia selain dua rakyat tempatan.

Mohd Khairul Rizzuan Abu Hassan, 26, seorang sukarelawan yang terbabit dalam konvoi itu berkata beliau berasa amat tertekan selepas diperlakukan seperti penjenayah ketika ditahan.

“Seorang daripada kami hanya mahu membuktikan kami adalah sukarelawan daripada Malaysia dengan menunjukkan kad pengenalan kelab tapi seorang lelaki daripada kumpulan itu meludah ke kad itu sambil berkata ‘this is all bullshit’ kerana tidak percayakan kami.
“Ketika itu keadaan sangat emosi, mereka ingat kami cuba memberi makanan kepada kumpulan penunjuk perasaan. Semua barang kami diselongkar dan mereka turut merampas 10 set walkie-talkie yang kami bawa,” katanya ketika dihubungi dari Kaherah, semalam.

Katanya, konvoi itu kemudian ditahan dalam dua sekatan jalan raya lagi dan melalui proses hampir sama sebelum tiba di Dewan Malaysia Abbasiah jam 8 pagi.

Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Mesir, Abdullah Mat, berkata mereka ditahan kononnya kerana melanggar perintah berkurung dari jam 4 petang hingga 8 pagi.

“Walaupun dengan bantuan Timbalan Menteri Luar (Senator A Kohillan Pillai) dan Duta Malaysia ke Mesir, mereka enggan melepaskan kami. Kami semua ditahan sehingga jam 4 pagi sebelum membenarkan kami meneruskan perjalanan,” katanya.

Pengerusi kelab itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pasukan sukarelawan terpaksa bergerak seawal 2 pagi ketika perintah berkurung masih berkuat kuasa untuk menyediakan makanan kepada warga Malaysia yang masih terkandas di wilayah itu.

“Kita kesal dengan sikap sesetengah pihak mengambil kesempatan terutama mereka bertindak merampas wang dan makanan. Namun, semua ini tidak mematahkan semangat sukarelawan walaupun ada antara kami tidur cuma empat jam sehari untuk memastikan kebajikan rakyat Malaysia dijaga sebelum dihantar pulang,” katanya.
Berita Harian Online | 8 sukarelawan kita ditahan di Mesir

No comments:

Post a Comment