Search This Blog

Monday, February 7, 2011

3 stesen kereta api Moscow diancam bom

Utusan Malaysia Online - Luar Negara


MOSCOW 6 Feb. - Polis Rusia hari ini memeriksa sembilan stesen kereta api bagi mencari bahan letupan selepas menerima ancaman serangan bom, dua minggu selepas satu serangan berani mati di lapangan terbang Moscow yang mengakibatkan 36 orang terbunuh.
Jurucakap polis, Tatyana Agapova berkata, seorang lelaki tidak dikenali menghubungi polis dan menyatakan bom telah diletakkan di tiga daripada sembilan stesen kereta api di Moscow dan ia akan diletupkan tidak lama lagi.
''Lelaki itu tidak menyatakan nama tiga stesen kereta api terbabit dan satu keputusan telah diambil bagi memindahkan orang ramai dari stesen Yaroslavsky, Leningradsky dan Kazansky,'' katanya.
Beliau berkata, polis juga sedang memeriksa enam stesen kereta api lain untuk mencari bahan letupan itu.
Moscow kini berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak serangan berani mati di lapangan terbang Domodedovo yang mengakibatkan 36 orang terbunuh dan lebih 150 cedera pada 24 Januari itu, serangan bom kedua dengan jumlah kematian tinggi di ibu negara ini dalam tempoh setahun.
Pihak berkuasa meminta penduduk Moscow berwaspada dan Agapova berkata, polis menerima ancaman bom hampir setiap hari sejak dua minggu lalu.
''Bagaimanapun, polis hari ini buat pertama kalinya memeriksa sembilan stesen serentak berhubung ancaman bom sejak serangan bom di lapangan terbang berkenaan,'' katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment