Search This Blog

Monday, February 7, 2011

3 kanak-kanak mati lemas di Sungai Perak

Utusan Malaysia Online - Berita Utama



Anggota penyelamat mengangkat mayat Mohd. Abd. Aazar Ibrahim yang ditemui berhampiran Pulau Semat, semalam.


KUALA KANGSAR 6 Feb. – Seorang ibu pasti tidak dapat melupakan detik-detik bagaimana dia melihat anak kesayangannya terkapai-kapai dibawa arus sungai sebelum ditemui mati lemas ketika mandi di Sungai Kampung Pauh, Ara Panjang dekat sini semalam.
Apa yang dikesalkan Siti Zaleha Abu, 49, dia hanya mampu melihat anaknya itu, Mohd. Imran Rosli, 10, lemas sebelum tenggelam dibawa arus Sungai Perak tanpa dapat membantu kerana arus ketika itu sangat kuat.
Lebih menyedihkan, kejadian itu turut meragut nyawa dua lagi kanak-kanak iaitu Mohd. Abd. Aazar Ibrahim, 10, dan Mohd. Suhairi Sahai, 12.
“Saya benar-benar terkilan kerana tidak mampu membantu menyelamatkan mereka. Saya tergamam. Saya nampak dengan jelas tangan ketiga-tiga mereka terkapai-kapai meminta pertolongan sebelum hilang dibawa arus.
“Ini kali pertama saya datang ke sungai ini tetapi tidak sangka ia bakal menjadi tragedi paling menyedihkan untuk saya sekeluarga. Saya benar-benar terkilan tetapi saya reda,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, dipercayai Mohd. Abd. Aazar dan Mohd. Suhairi cuba menyelamatkan Mohd. Imran yang dihanyutkan arus deras sebelum mereka turut menjadi mangsa.
Mayat Mohd. Suhairi ditemui kira-kira pukul 5.15 petang semalam kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.
Mayat Mohd. Imran pula ditemui pukul 7.15 pagi ini di beting pasir Pulau Perdana, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian manakala Mohd. Abd. Aazar pula ditemui kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian dalam keadaan terdampar berhampiran pasir di Pulau Semat.
Menurut Siti Zaleha, mereka sekeluarga sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur hari ini selepas menziarahi adik angkatnya yang merupakan ibu kepada Mohd. Suhairi.
Katanya, semasa kejadian, terdapat lebih kurang 10 kanak-kanak sedang mandi di sungai tersebut.
“Sebaik sahaja mencecahkan kaki dalam air, saya terlihat anak saya sudah lemas. Saya menjerit sehingga hilang suara, namun tiada yang membantu.
“Mujurlah tidak lama kemudian, ada seorang lelaki yang mendengar jeritan saya dan kebetulan pula dia merupakan abang kepada Mohd. Abd. Aazar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Supritendan Abdul Ghafar Mohamad berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 3.45 petang.
Seramai 90 anggota terdiri daripada pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Kuala Kangsar, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Gerakan Marin menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Menurutnya, operasi mencari dilakukan dengan menggunakan 20 buah bot dan dihentikan sebaik sahaja kesemua mangsa berjaya ditemui petang ini.
“Mangsa pertama disahkan meninggal dunia sebaik sahaja ditemui petang semalam dan dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.
“Dua lagi mayat kanak-kanak yang ditemui hari ini juga dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat,” katanya.
Abdul Ghafar menasihatkan orang ramai yang ingin melakukan aktiviti riadah di Sungai Perak supaya menjaga keselamatan diri dan mementingkan aspek keselamatan.
Katanya, walaupun keadaan permukaan di sungai tersebut kelihatan tenang, namun mereka mesti berhati-hati kerana kecuaian yang sedikit bakal membawa kemalangan yang tidak disangka.
Sepanjang tahun lalu, katanya, terdapat tujuh kes lemas di kawasan itu. Beberapa kes melibatkan orang luar dari kawasan ini yang datang bercuti atau berkelah.

No comments:

Post a Comment