Search This Blog

Sunday, February 6, 2011

16 kematian hari kelapan, 10,034 saman dikeluarkan






2011/02/05

KUALA LUMPUR: Enam belas kematian dicatatkan pada hari kelapan Ops Sikap ke-23, kelmarin dengan jalan bandaran mencatatkan jumlah kematian dan kemalangan tertinggi iaitu tujuh kematian daripada 314 kemalangan. 

Jalan negeri pula mencatat enam kematian daripada 188 kes kemalangan manakala dua kematian direkodkan di lebuh raya daripada 116 kes kemalangan dan satu kematian di lain-lain jalan dengan 50 kes kemalangan.Statistik Polis Trafik Bukit Aman menunjukkan jumlah kematian sedikit menurun berbanding 19 kes hari sebelumnya, tetapi pengguna motosikal kekal penyumbang tertinggi kemalangan maut kelmarin dengan 14 kematian manakala penumpang kereta dan pemandu kenderaan pacuan empat roda masing-masing satu kematian.
Sejak Ops Sikap ke-23 dilancarkan, sebanyak 10,034 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan. 

Sementara itu, di IPOH, seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya dipercayai bergesel dengan kenderaan lain sebelum terjatuh lalu dirempuh kenderaan di belakang dalam kejadian di Kilometer 269.9, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, malam kelmarin. 

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab, berkata kemalangan kira-kira jam 8.05 malam itu berlaku selepas motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggang mangsa bergesel dengan kenderaan lain sebelum terjatuh. 

“Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Ridhuan Abdul Wahab, 25, dipercayai berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, mati di tempat kejadian selepas mayatnya hancur akibat dirempuh beberapa kenderaan dari belakang. 
“Seorang lagi penunggang motosikal, Irwan Fahmi Mat Ariff, 22, yang melalui jalan itu turut melanggar mayat mangsa. Ini mengakibatkan Irwan Fahmi jatuh terseret dan mengalami cedera ringan di beberapa anggota badan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Mohd Rodzi berkata, bagaimanapun Irwan Fahmi yang juga seorang anggota tentera hanya mengalami cedera ringan dan dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini. 

Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai langgar lari dan meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 untuk membantu siasatan. 

No comments:

Post a Comment