Search This Blog

Monday, February 28, 2011

14 lelaki ditahan

JOHOR BAHRU: Seramai 14 lelaki berusia 20-an hingga 30-an ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kejadian cubaan ragut yang menyebabkan seorang wanita warga emas, R Alamelu, 52, maut di lokasi kejadian di Jalan Skudai-Jalan Tun Razak di sini, kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, beberapa suspek ditahan sekitar bandar raya ini didapati di bawah pengaruh dadah selain memiliki rekod terbabit kes ragut dan samun sebelum ini.

“Kami yakin penahanan mereka yang dibuat selepas tragedi itu dapat membantu polis dalam usaha memberkas penjenayah sebenar yang terbabit dalam kejadian itu.

“Selain itu, maklumat daripada saksi kejadian juga akan dijadikan petunjuk bagi memburu kumpulan penjenayah terbabit dan kami berharap dapat membuat tangkapan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, M Asojan berkata, kejadian menimpa Alamelu perlu membuka mata orang ramai supaya lebih berhati-hati terutama ketika menunggang dan membonceng motosikal.


Beliau berkata, orang ramai tidak sepatutnya memberi ruang kepada penjenayah dengan membawa barangan berharga dalam keadaan terdedah.

“Langkah pencegahan dan nasihat polis tidak boleh dipandang remeh kerana boleh mengundang tragedi. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap penjenayah dapat ditahan segera.

“Pengguna jalan terutama mereka yang sering melaluinya pada waktu lengang atau awal pagi diminta lebih berhati-hati selain tidak memakai barangan kemas atau membawa beg berisi barangan berharga secara terdedah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa dikatakan membonceng motosikal bersama adik iparnya, D Ganesh, 36, sebelum mereka dihimpit tiga penunggang motosikal dipercayai warga asing.

Kumpulan penjenayah itu dikatakan cuba meragut beg pinggang mangsa menyebabkan wanita itu terjatuh dan mati di tempat kejadian.
myMetro | 14 lelaki ditahan

No comments:

Post a Comment