Search This Blog

Monday, February 7, 2011

14 cedera pertempuran di sempadan Thai-Kemboja



BANGKOK: Tiga belas tentera Thai dan seorang orang awam cedera dalam pertempuran terbaru dengan tentera Kemboja di mana kawasan pertempuran diperluaskan di luar kawasan sempadan yang dipertikaikan ketika gencatan senjata berlangsung tidak sampai 24 jam.



2011/02/07


Jurucakap Tentera Thai, Kol Sansern Keowkamnerd hari ini berkata, mereka mengalami kecederaan itu ketika berlaku pertempuran pada 6.30 petang semalam di daerah Kantharalak, wilayah Si Sa Ket, kira-kira 550km timur Bangkok.
Kedua-dua pihak menggunakan senjata berat termasuk roket, mesingan, meriam, dan artileri dengan tentera Kemboja dilaporkan melancarkan serangan dari stesen mereka di Bukit Phu Ma Khua dan Chong Don Aou.
Kol Sansern mendakwa tentera Kemboja terlebih dahulu memulakan serangan di bumi Thai dan segera dibalas oleh pihak Thai.

"Sekolah dan banyak kampung terkena tembakan," katanya, sambil menambah insiden itu memaksa beribu-ribu penduduk kampung dipindahkan sementara ke kubu bawah tanah dan tempat lebih selamat.

Pihak berkuasa Si Sa Ket telah menjadikan dewan orang ramai dan stadium sebagai tempat perlindungan sementara.

Kedua-dua pihak mencapai perjanjian gencatan senjata pada 7 petang Sabtu lalu berikutan pertempuran yang tercetus di kawasan sempadan yang dipertikaikan pada Jumaat, mengorbankan dua rakyat Thai, seorang daripadanya orang awam, manakala 12 tentera cedera selain mengakibatkan kerosakan sebuah sekolah dan beberapa buah rumah dalam pertempuran yang berlangsung selama dua hari.
Pertempuran semalam berlangsung kira-kira tiga jam dan disambung semula kira-kira 8.30 pagi ini.

Dalam perkembangan lain, laporan dari Phnom Penh menyebut Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen menghantar surat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) malam semalam untuk meminta campur tangan badan dunia itu.

Phnom Penh mahu Majlis Keselamatan mengadakan sidang tergempar untuk menghentikan pencerobohan Thai ke dalam wilayah Kemboja. - BERNAMA
Berita Harian Online | 14 cedera pertempuran di sempadan Thai-Kemboja

No comments:

Post a Comment