Search This Blog

Friday, January 7, 2011

Waris wanita mangsa bunuh dicari

Utusan Malaysia Online - Jenayah


BUKIT MERTAJAM 6 Jan. - Polis Seberang Perai Tengah (SPT) sedang mengesan waris seorang wanita yang dipercayai dibunuh dan mayatnya ditemui hampir reput di pinggir hutan di Berapit 2 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Azman Ab. Lah berkata, polis menghadapi kesukaran mengesan identiti mayat wanita terbabit ekoran keadaannya yang hampir 80 peratus reput.
Menurutnya, pihak polis juga gagal mengenal pasti keturunan atau warganegara wanita tersebut yang ditemui tidak berpakaian selain tiada penemuan sebarang dokumen pengenalan diri.
''Bagaimanapun polis menemui beberapa barang kes berupa sebentuk cincin perak yang dipakai di jari hantu tangan kiri serta 12 utas gelang perak pada tangan kanan mangsa.
''Mayat itu dipercayai dibunuh dan dicampakkan ke hutan berdekatan pondok lama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang itu sejak seminggu sebelum mayatnya ditemui," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, pihak polis juga gagal mengenal pasti punca kematian wanita berusia berkenaan yang berusia lingkungan 28 hingga 35 tahun dan berbadan kurus.
Sehubungan itu, Azman menyeru mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membuat pengecaman mayat di Hospital Seberang Jaya di sini.
Mereka juga katanya, boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Supritendan Suriman Shahrim di talian 012-4188669 atau 04-5382222 sambungan 2446 untuk maklumat lanjut.
Dalam perkembangan lain, katanya, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 30-an yang didapati membawa dua ketul ganja mampat seberat 760 gram di Jalan Sutera, Taman Desa Sutera dekat Seberang Jaya kira-kira pukul 12.10 pagi ini.
Azman berkata, lelaki tersebut yang menunggang motosikal Modenas Kriss menyembunyikan bahan itu di dalam beg galas yang dibawanya.
''Dia kini direman selama enam hari sehingga 12 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952," tambahnya.

No comments:

Post a Comment