Search This Blog

Tuesday, January 4, 2011

Warga Nigeria, tempatan didakwa subahat menculik

SH

KUALA LUMPUR - Dua pelajar lelaki warga Nigeria dan dua wanita tempatan didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan terlibat dalam kes pe:nculikan ahli perniagaan warga Maghribi bulan lalu.

Warga Nigeria, Abbas Chidiebere Standy dan Nwosu Douglas Oluchi didakwa bersama tiga orang lagi yang masih bebas, dengan niat bersama menahan dan melarikan Elmourabiti Smail dengan tujuan menculik untuk mendapatkan wang tebusan.

Abbas, 33, dan Nwosu, 25, penuntut sebuah kolej swasta di sini, didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan parkir Bangunan Pan Global, Jalan P Ramlee, di sini, pada 11 Disember lalu.

Dua warga tempatan, Alysa Marianna Mohamed Yusuf, 24, didakwa menguruskan pengeluaran wang tebusan RM350,000 pada 15 Disember lalu.

Yeap Tse Wai, 28, didakwa menguruskan pengambilan wang tebusan sebanyak RM100,000 di kawasan Aparmen Sri Selayang, Batu Ferringhi di dalam Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, antara 9 malam hingga 9.30 malam, 16 Disember lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat mereka di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtaruddin.

Abbas dan Nwosu, yang diwakili peguam bela M Tharma Ratnam dan Raja Kumar Raja Kandan, didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Alysa, yang bekerja sebagai kerani akaun sebuah syarikat, manakala Yeap seorang pereka grafik, didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Culik 1961 yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Mereka diwakili peguam Shamsul Sulaiman dan Raja Kumar Raja Kandan, manakala pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa, Asisten Superintenden D R Ghandhi Nathan dan R Munusamy.-Bernama

No comments:

Post a Comment