Search This Blog

Tuesday, January 11, 2011

Wanita Saudi dipenjara 3 tahun dera amah Indonesia


RIYADH 10 Jan. - Mahkamah Arab Saudi di Madinah semalam menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas seorang wanita warga Arab Saudi kerana menikam dan memukul pembantu rumahnya warga Indonesia serta melekap seterika ke atas tubuh gadis itu.
Wanita Saudi itu tetap mendakwa dia tidak bersalah dan tidak menyebabkan kecederaan ke atas Sumiati Salan Mustapa, 23, lapor akhbar al-Watan, hari ini.
Majikan itu dikenakan hukuman di bawah perintah diraja yang berkuat kuasa baru-baru ini bagi memerangi pemerdagangan manusia, menurut laporan yang memetik kenyataan peguam bagi konsulat Indonesia, Abdulrahman al-Muhamadi.
Muhamadi berkata, beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu bagi memohon hukuman lebih berat.
Sumiati hadir di mahkamah pada minggu lepas untuk menunjukkan kesan-kesan kecederaannya kepada hakim, selepas dia gagal menghadiri perbicaraan sebelum itu.
Wanita Saudi itu ditangkap selepas didakwa memukul Sumiati dengan begitu teruk sehingga menyebabkan tulangnya patah dan pendarahan dalaman, menekap seterika panas pada kepalanya serta menikam dan mengelarnya dengan gunting.
Kes penderaan Sumiati itu mengejutkan dan membangkitkan kemarahan pertubuhan hak asasi manusia dan buruh yang menganggapnya sebagai satu lagi contoh tiadanya perlindungan untuk berjuta-juta pembantu rumah asing terutamanya di Arab Saudi dan negara-negara di Teluk.
Kementerian Buruh Saudi menyatakan rasa kesal dengan kes itu tetapi menyifatkannya sebagai insiden terpencil.
Pada November lalu, Sumiati menjalani pembedahan untuk merawat kecederaannya tetapi seorang pegawai konsulat Indonesia di Jeddah, Diddi Wahyudi berkata, dia memerlukan rawatan lanjut. - AFP

No comments:

Post a Comment