Search This Blog

Saturday, January 22, 2011

Trauma rumah disimbah cat



DANAU KOTA – Sepasang suami isteri hidup dalam ketakutan apabila rumah mereka diami disimbah cat hitam dipercayai oleh ceti haram.

Mangsa, Lee Hui Min dan Ng Chin Weng berkata, dia tidak pernah membuat pinjaman dengan mana-mana ceti haram ataupun ah long. Bagaimanapun, pada 20 Disember lalu, mereka menerima satu nota yang tertulis ‘Payment not paid, I would buy black paint for you’ di depan rumahnya di Taman Setapak.

Menurutnya, beberapa hari kemudian, selepas pulang dari kerja dia melihat lantai rumahnya disimbah cat hitam dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Setapak.

Katanya, insiden itu tidak berakhir di situ, malah mereka kemudiannya diganggu lagi dengan kumpulan terbabit yang kemudiannya membaling bangkai ikan di perkarangan rumah mereka sehingga mereka tidak selamat untuk mendiami rumah itu.

“Memang kami tak pernah buat pinjaman dengan mana-mana ah long dan mungkin ah long ini tersilap orang.

“Sejak dari itu saya dan isteri sentiasa berada dalam ketakutan dan isteri saya trauma sama ada di dalam rumah mahupun di luar rumah,” katanya ketika membuat aduan di Pusat Khidmat Masyarakat MCA Bahagian Wangsa Maju.

Menurutnya, dia memanjangkan permasalahan itu agar individu terbabit tidak lagi mengganggu mereka berdua agar boleh hidup aman seperti sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi MCA bahagian Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look berkata, kemungkinan besar ada individu yang membuat pinjaman melalui ah long dengan menggunakan alamat rumah mangsa.

Menurutnya, dengan mengeluarkan berita di dalam media sekurang-kurangnya ah long terbabit sedar bahawa mereka tersilap orang dan tidak terus mengganggu kehidupan pasangan suami isteri terbabit.

“Mereka mengaku tidak membuat pinjaman ah long kerana itu mereka tampil ke depan untuk mendapatkan pembelaan agar ah long yang menyerang mereka tidak lagi berbuat demikian.

“Kita juga akan menghubungi dan mendapatkan kerjasama polis supaya mangsa tidak terus diganggu dan berada dalam ketakutan,” katanya.

No comments:

Post a Comment