Search This Blog

Friday, January 28, 2011

TLDM tahan 41 awak-awak, tekong



LUMUT – Sebuah bot nelayan bersama 41 awak-awak termasuk tekong warga Indonesia ditahan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Kinabalu atas kesalahan menceroboh serta menangkap ikan di perairan negara, Selasa lalu.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tiga, Kapten (M) Ang Cheng Hwa berkata, penahanan itu dilakukan kira-kira jam 8.40 malam iaitu 25 batu nautika Barat laut Pulau Jarak.

Menurutnya, bot nelayan ditahan itu menggunakan pukat jerut untuk menangkap ikan dan mereka diserahkan kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

"Selepas pemeriksaan dilakukan, bot berkenaan didapati berasal dari Tanjung Balai, Indonesia dan memiliki nombor pendaftaran 2610 PPB/KM Mulia Jaya serta mempunyai muatan 0.5 tan ikan kerisi dan tongkol," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Cheng Hwa berkata, semua awak-awak dan tekong itu gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan dilakukan.

Menurutnya, bot itu juga tidak mempunyai kebenaran menangkap ikan yang sah di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.

“Bot bersama 41 awak-awak dan tekong berumur lingkungan 20 hingga 58 tahun ditahan dan dibawa ke perairan Pulau Pangkor untuk diserahkan kepada APMM Pengkalan Maritim di Lumut.

“Seterusnya Bot Petir 80 bersama Kilat 51 ditugaskan menerima bot nelayan dan semua awak-awak berkenaan pada jam 4 pagi kelmarin, untuk dibawa masuk ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kampung Acheh, Sitiawan bagi siasatan lanjut,” katanya.

Cheng Hwa berkata, insiden itu akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 iaitu kesalahan menangkap ikan atau cuba menangkap ikan di perairan perikanan Malaysia.

“Jika sabit kesalahan, tekong boleh didenda tidak melebihi RM1 juta dan RM100,000 bagi setiap awak-awak.

"APMM juga akan membuat permohonan reman ke atas mereka di bawah Seksyen 47D Akta Perikanan 1985,” katanya.

No comments:

Post a Comment