Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

Tiga remaja cuba langgar polis ditahan

BUKIT MERTAJAM: Dua anggota Skuad MPV Elit Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang nyaris maut apabila sebuah kereta jenis Proton Iswara merempuh sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Juru arah selatan Lebuhraya Utara Selatan (Plus), awal pagi semalam.
Kereta dipandu remaja berusia 18 tahun itu memecut laju ketika menghampiri sekatan malah hampir melanggar anggota bertugas, namun mereka sempat mengelak.

Tindakan pantas dua unit peronda MPV Evo X IPK Pulau Pinang mengejar kereta itu akhirnya berjaya memintas kenderaan terbabit kira-kira satu kilometer dari lokasi sekatan.

Pegawai Turus Unit Kereta Peronda, Cif Inspektor Rohizad Halim berkata, suspek pada mulanya enggan memberhentikan kereta ketika dikejar selepas 200 meter, menyebabkan anggota terpaksa menghimpit kereta suspek ke bahagian tepi lebuh raya.

“Suspek iaitu tiga remaja lelaki berjaya dikepung kira-kira satu kilometer dari sekatan menggunakan dua unit MPV Evo X dan ditahan untuk siasatan.

“Pemeriksaan awal mendapati pemandu kenderaan yang berusia 18 tahun tiada lesen memandu dan kami menemui sebilah parang di bawah tempat duduk pemandu,” katanya.

Tiga remaja itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Nibong Tebal selepas menonton wayang di Pulau Pinang, ditahan atas kesalahan cuba melarikan diri dari sekatan polis, tidak mempunyai lesen memandu serta memiliki senjata.

“Semua remaja ditahan kerana membahayakan nyawa anggota bertugas, selain memandu tanpa lesen serta memiliki senjata.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada lesen memandu dan memandu secara melulu sehingga membahayakan anggota bertugas serta Seksyen 6, Akta Bahan Hakisan dan Senjata Berjadual kerana memiliki senjata,” katanya. Dalam sekatan sama, dua lelaki tempatan turut ditahan ketika cuba melarikan diri dengan membuat pusingan U sebelum sekatan berkenaan.

“Pada jam 12.30 tengah malam, sebuah kereta jenis Proton Wira memberhentikan kenderaan 300 meter dari sekatan dan membuat pusingan U setengah jam kemudian.

“Mereka dipercayai cuba melarikan diri apabila melihat sekatan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berasal dari Taiping, Perak itu dalam keadaan khayal serta positif dadah.

No comments:

Post a Comment