Search This Blog

Wednesday, January 5, 2011

Tiga dihukum gantung sampai mati

http://www.utusan.com.my

Peniaga restoran edar kanabisPUTRAJAYA 4 Jan. - Seorang bekas peniaga restoran hari ini gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan hukuman gantung atas kesalahan mengedar 1.03 kilogram kanabis, 11 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria menolak rayuan Mohd. Farid Sukis, 36, setelah berpuas hati bahawa Mahkamah Rayuan betul ketika membenarkan rayuan pendakwa raya.
Beliau memutuskan demikian secara sebulat suara ketika bersidang bersama Hakim Tan Sri Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff dan Hakim Datuk Heliliah Mohd. Yusof.
Beberapa ahli keluarga Mohd. Farid yang hadir bagi mendengar keputusan tersebut kelihatan sugul selepas mahkamah menolak rayuan itu.
Pada asalnya, perayu dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Jun 2002 daripada tuduhan pindaan mengedar 1,032.4 gram kanabis.
Kejadian itu berlaku di rumah rakannya di Kampung Batu di ibu negara pada pukul 11 pagi, 9 Oktober 1999. Dia ditangkap ketika sedang memotong ketulan mampat kanabis di ruang tamu rumah tersebut.
Bagaimanapun, pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut telah mengemukakan rayuan.
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan itu pada 14 April tahun lalu, sekali gus menjatuhkan hukuman gantung terhadap Mohd. Farid.
Pada prosiding hari ini, Mohd. Farid diwakili oleh peguam T. Suresh manakala Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman mewakili pihak pendakwaan.
Perayu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
l Buruh bunuh warga emasIPOH 4 Jan. - Seorang buruh dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang warga emas, lima tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Dr. Hassan Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap S. Suresh, 39, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Dalam penghakimannya, beliau berkata, mahkamah tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Suresh bersama seorang lagi tertuduh, S. Ramesh dituduh membunuh P. Ramalingam, 51, di Kawasan Perindustrian Tasek di sini pada pukul 7.30 malam, 26 Februari 2006.
Bagaimanapun Ramesh meninggal dunia semasa dalam tahanan pada 19 November lalu.
Mengikut keterangan kes, selepas melakukan pembunuhan itu, kedua-dua tertuduh telah mencampakkan mayat mangsa di kawasan Jambatan Iskandar, Kuala Kangsar.
Hasil siasatan polis menemui mayat mangsa yang mengalami kecederaan parah pada badan akibat ditikam, lima hari selepas kejadian iaitu kira-kira pukul 6.40 petang, 1 Mac 2006.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farid Mohd. Mokhtar manakala Suresh diwakili peguam bela Manjeet Singh.
l Penjual CD edar ketaminSHAH ALAM 4 Jan. - Seorang lelaki warganegara India dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah jenis ketamin yang disembunyikan di dalam kotak colok lima tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid memutuskan hukuman itu terhadap Najmudeen Abdul Kader selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Beliau semasa membacakan penghakiman ringkasnya juga menolak pembelaan tertuduh yang mendakwa tidak mengetahui tentang kewujudan dadah tersebut sedangkan dia mengetahui kombinasi nombor kunci beg tersebut.
Najmudeen yang bekerja menjual cakera padat (CD) didakwa mengedar 4,041.3 gram ketamin di Kaunter A, Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8.20 pagi, 8 Ogos 2008.
Dia dibicarakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Naziah Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam Sreekant Pillai.
Mengikut keterangan saksi, seorang pegawai kastam mendapati wujud imej yang mencurigakan sewaktu mengimbas beg milik Najmudeen yang ketika itu baru tiba dari Mumbai, India.
Hasil pemeriksaan, terdapat 47 kotak colok yang di bawahnya terdapat kain baldu berwarna merah.
Apabila kain baldu itu dikoyak, serbuk kristal putih dijumpai di bawahnya yang kemudiannya disahkan sebagai dadah jenis ketamin.

No comments:

Post a Comment