Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Terserempak buaya sesat

myMetro | Terserempak buaya sesat
KUANTAN: Seorang wanita terkejut apabila objek disangkakan sampah berhampiran semak di Lorong Permatang Cenghal, Kampung Sungai Soi, di sini, sebenarnya seekor buaya tembaga sepanjang hampir tiga meter yang sesat sebelum reptilia berkenaan ditangkap, semalam.
Usaha menangkap sang bedal itu mulanya menimbulkan situasi cemas apabila terlepas daripada ikatan dan hampir lolos, namun usaha gigih anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuantan serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berjaya menangkap semula.

Wanita terbabit, Fauzita Othman, 25, berkata dia terserempak dengan buaya berkenaan kira-kira jam 4 pagi ketika dalam perjalanan ke tempat kerja tidak jauh dari lokasi berkenaan.

“Pada mulanya saya menyangka objek dilihat itu hanya longgokan sampah memandangkan jalan berkenaan gelap, namun hanya menyedari ia sebenarnya haiwan berbahaya selepas melalui kawasan terbabit kali kedua kira-kira jam 5 pagi.


“Ketika itu, saya melintas betul-betul di depan kepala buaya berkenaan dan selepas mendapati ia seekor buaya, saya berlari pulang memaklumkan kepada suami,” katanya ketika ditemui, semalam.


TANGKAP...anggota bomba menangkap buaya tembaga yang sesat di Lorong Permatang Cenghal, Kampung Sungai Soi, semalam.
TANGKAP...anggota bomba menangkap buaya tembaga yang sesat di Lorong Permatang Cenghal, Kampung Sungai Soi, semalam.
Berikutan itu, suaminya, Nazrul Azhar Nasarudin, 32, bergegas ke tempat kejadian bersama abang iparnya, Fau’ad Othman, 28, dengan menunggang motosikal.

“Ketika tiba di situ, buaya itu mula merangkak keluar dari semak, malah ketika disuluh dengan lampu motosikal, ia beberapa kali menerpa ke arah kami menyebabkan kami berundur sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.

“Memang sungai di kawasan ini dihuni banyak buaya, malah penduduk pernah melihatnya dalam sungai terbabit tetapi ia kejadian pertama buaya ditemui di darat,” katanya.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat, di sini, Md Jusoh Mustafa, berkata pihaknya menerima laporan jam 8.22 pagi dan tiba di lokasi jam 8.40 pagi bersama enam anggota dan pegawai.

“Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap buaya berkenaan dengan bantuan anggota JPAM serta penduduk kampung dan buaya berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri ,” katanya.

Timbalan Pengarah Perhilitan negeri, Abu Zahrim Ismail berkata, buaya betina itu sudah dilepaskan di hulu Sungai Kuantan, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari selepas pemeriksaan keadaannya dilakukan.

“Buaya sepanjang 2.7 meter dan seberat 140 kilogram itu dipercayai naik ke darat disebabkan hujan lebat dan arus sungai deras,” katanya.

No comments:

Post a Comment