Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Terputus hubungan akibat banjir




KOTA BHARU- Lebih 100 mangsa banjir dari 20 keluarga banjir di Kampung Pelunggul, Melor di sini terputus hubungan apabila kampung mereka terkepung oleh banjir yang melanda kawasan berkenaan sejak dua hari lalu. 

Namun mereka enggan berpindah disebabkan bimbang untuk meninggalkan rumah dan ternakan masing- masing, selain serik untuk tinggal di pusat pemindahan mengenangkan apa yang pernah dilalui sebelum ini. 

Seorang mangsa, Hazimah Jusoh, 60, berkata, banjir melanda kawasan berkenaan selepas hujan turut tanpa henti sejak 3 pagi kelmarin, dan berlanjutan sehingga keesokan harinya menyebabkan kawasan berkenaan dinaiki air secara mendadak. 

“Kami langsung tidak menyangka akan terus terkepung setelah hujan berlanjutan untuk beberapa jam, sehingga ada yang tidak sempat membawa kenderaan dan ternakan masing-masing ke kawasan lebih tinggi.

“Akibatnya ada yang terpaksa membawa binatang ternakan naik ke atas rumah bimbang lemas dan dihanyutkan arus deras air banjir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam. 

Menurutnya, bagaimanapun penduduk di kampung berkenaan enggan berpindah dan sanggup tinggal dalam keadaan air memenuhi ruang rumah masing-masing kerana bimbang lebih banyak kerugian dialami. 

“Kami pernah berpindah pada musim banjir beberapa tahun lalu, namun itulah yang pertama dan sehingga kini masing- masing serik, kerana ada yang terpaksa berdepan kerugian lebih besar, selain kerosakan akibat banjir, rumah mereka yang ditinggalkan beberapa hari turut dinaiki pencuri,” katanya. 

Hazimah berkata, ada di kalangan penduduk yang tidak sempat membawa kenderaan ke tempat lebih selamat pula terpaksa berdepan kerosakan, apabila sebahagiannya ditenggelami air. 

Beliau berkata, setiap tahun kawasan berkenaan akan dinaiki air, dan semua penduduk akan terkepung selain berdepan kerosakan harta benda selepas gagal diselamatkan. 

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Rohana Che Soh, 30an, berkata, bagaimanapun apa yang dikesalkan, walaupun mereka merupakan mangsa bencana, namun sehingga kini penduduk di kampung berkenaan tidak pernah menerima bantuan dari mana- mana pihak. 

“Kadang kala tertanya-tanya kenapa kami di sini tidak pernah dihulurkan bantuan, sedangkan kami juga mangsa banjir, mangsa bencana yang memerlukan bantuan seperti mana mereka yang dipindahkan di pusat pemindahan,” katanya. 

Menurutnya, penduduk juga tidak tahu di mana tempat mengadu, dan saban tahun hanya menunggu bantuan yang belum pasti akan diterima. 

Beliau mendakwa, musim banjir lalu ada pihak yang mendapatkan maklumat mengenai mereka, namun sehingga ke musim banjir kali ini, bantuan atau sumbangan tidak pernah diterima menyebabkan timbul rasa kesal di kalangan mereka.

No comments:

Post a Comment