Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Terperangkap judi internet

SH


JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor syarikat pasir bergelar ‘Datuk’ hidup dalam ketakutan apabila diugut ah long setelah berhutang dengan peminjam wang tidak berlesen itu sebanyak RM700,000.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Datuk Simon, 35, berkata, dia menanggung beban kewangan itu selepas terlibat dalam perjudian Internet yang diperkenalkan rakan baiknya.

“Saya mengetahui perjudian Internet ini sejak tahun 2004, namun selepas diperkenalkan rakan bisnes mengenai satu permainan perjudian Internet seperti perlumbaan anjing, dia meyakinkan saya dalam tempoh 20 minit mampu meraih keuntungan RM100,000.

“Akibat percaya dengan desakan rakan, saya mula berjinak-jinak dengan permainan itu dan diperkenalkan dengan ‘bookie’ pada September tahun lalu. Namun dalam tempoh dua minggu, saya menanggung kerugian RM700,000,” katanya ketika hadir di pejabat Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, Micheal Tay Chee Boon, di sini ,semalam.

Simon berkata, dalam tempoh dua minggu itu, beliau telah mengeluarkan modal lebih RM1 juta dan hanya pernah memenangi beberapa kali yang nilainya sekadar RM30,000.

Dia telah melunaskan hutangnya bernilai RM300,000 sejak beberapa bulan lalu, namun kini mengalami masalah kewangan bagi melangsaikan keseluruhan hutangnya yang berbaki RM400,000.

Apa yang dikesalinya kini, beliau mengetahui rakannya dan sindiket peminjam wang tersebut seakan memasang perangkap dan kekalahannya itu bagai diatur.

“Saya tidak akan lari, mahupun enggan membayar hutang yang dibuat. Cuma saya memerlukan masa dan akan melangsaikan hutang tersebut secara ansur-ansuran dalam tempoh dua tahun ini kerana saya memerlukan wang bagi menjalankan perniagaan,” katanya kesal.

Bapa kepada dua cahaya mata ini juga pernah diugut ah long dengan mengancam nyawanya dan keluarga serta memusnahkan perniagaannya jika dia gagal untuk melunaskan baki hutang tersebut mengikut ketetapan waktu yang diarahkan yang diterimanya menerusi sistem pesanan ringkas.

Atas sebab tersebut, Simon telah membuat laporan polis bagi melindungi dirinya dan keluarga.

Sementara itu, Micheal berkata, sebanyak 18 aduan diterima pihaknya mengenai bebanan hutang menerusi perjudian Internet sepanjang tahun lalu.

Beliau juga turut terkejut dengan bebanan hutang yang dibuat Simon dan menasihatkan orang awam agar tidak terpedaya dengan judi Internet yang akhirnya memakan diri sendiri.

“Kes-kes sebelum ini membabitkan jumlah perjudian yang kecil, namun saya tidak sangka adanya terperangkap dengan hutang ah long dengan jumlah yang besar.

“Saya nasihatkan kaki judi ini berhenti daripada melakukan aktiviti tidak berfaedah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment