Search This Blog

Wednesday, January 5, 2011

Takut kesan radiasi

Berita Harian Online | Takut kesan radiasi


Oleh Muhammad Hatim Ab Manan
bhnews@bharian.com.my
2011/01/05

PENDUDUK memegang kain rentang membantah pembinaan struktur pemancar telekomunikasi  di atas bangunan tiga tingkat di Taman Megah, Bukit Beruang.
PENDUDUK memegang kain rentang membantah pembinaan struktur pemancar telekomunikasi di atas bangunan tiga tingkat di Taman Megah, Bukit Beruang.
Penduduk Taman Megah berang syarikat telekomunikasi bina struktur pemancar atas bangunan tanpa berbincang

MELAKA TENGAH: Penduduk Taman Megah, Bukit Beruang dalam Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), dekat sini, berang dan tidak berpuas hati dengan tindakan sebuah syarikat telekomunikasi membina struktur pemancar di situ tanpa mengadakan perbincangan dengan mereka.
Mereka mendakwa pembinaan struktur setinggi enam meter di atas sebuah bangunan tiga tingkat di situ boleh menimbulkan masalah kesihatan berpunca daripada radiasi dikeluarkan oleh sistem pemancar berkenaan.
Kemuncak rasa tidak senang hati dan bimbang itu diluahkan mereka baru-baru ini dengan mengadakan tunjuk perasaan secara aman di tapak projek itu. Mereka memaparkan bantahan itu menerusi kain rentang.

Bantahan itu turut disertai beberapa wakil dari taman berhampiran. Antaranya, Setiausaha JKKB Taman-taman Perumahan Bukit Beruang, Isa Harun dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawis, Othman Abu.

Turut serta, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bunga Raya, Sulaiman Baba; Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kerjasama, Wee Seng Siang dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Melaka, Tai Tam Yin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Bandar (JKKB) Taman-taman Perumahan Bukit Beruang, Ng Soon yang mengetuai bantahan itu ketika ditemui berkata, pihaknya kesal dengan tindakan pemasangan sistem pemancar itu kerana dilakukan tanpa persetujuan penduduk.
Beliau membidas pemilik bangunan berkenaan yang didakwanya hanya mementingkan diri sendiri kerana membenarkan pemancar itu dipasang tanpa memikirkan keburukannya jangka masa panjang.

“Saya mendapat banyak aduan daripada penduduk berdekatan di sini yang memberitahu pemilik bangunan ini hanya mementingkan diri dengan membenarkan tapak di atas bangunan itu dipasang dengan struktur pemancar komunikasi.

“Mereka tidak memikirkan kesan yang boleh berlaku jika pemancar berkenaan terus beroperasi dalam jangka masa panjang yang boleh mendedahkan penduduk kepada pancaran radiasi, sekali gus menjejaskan kesihatan,” katanya.

Ng mengesahkan, beliau juga sudah mengadukan hal itu kepada Ahli Majlis MPHTJ, Loh Sin Wah. Ia turut dihadiri dua Ahli Majlis MPHTJ, Yong Fun Juan dan Fun Mei Lan.

Berita Harian yang membuat tinjauan di kawasan berkenaan difahamkan pembinaan struktur pemancar di bangunan berkenaan dimulakan pada awal bulan lalu dan mendapat kebenaran dari Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH).

Sementara itu, penduduk, Flora Lock, 57, berkata dia kesal dengan sikap pemilik bangunan kedai jualan kereta terpakai yang membenarkan pihak terbabit memasang struktur pemancar di atas bangunan mereka.

"Jarak rumah saya juga begitu hampir iaitu 100 meter saja. Kini siaran televisyen juga sering terganggu dan ada kalanya tiada gambar langsung, tidak seperti sebelum ini,” katanya.

Loh ketika ditemui, berkata pihak berkuasa sepatutnya perlu berbincang terlebih dulu sebelum meluluskan pembinaan struktur pemancar berkenaan kerana kawasan itu padat dengan penduduk di sekelilingnya.

Beliau mengesahkan mendapat maklumat bahawa pihak berkuasa terbabit meluluskan pembinaan struktur pemancar telekomunikasi itu pada 30 Julai lalu dan menghantar surat kepada Pejabat Tanah dan Galian pada 10 Ogos lalu untuk makluman pemasangan.

Katanya, pada 6 Oktober lalu, pihak berkenaan memaklumkan kepada Unit Kawalan Bangunan MPHTJ mengenai kelulusan untuk mendapatkan pengesahan dan memulakan pembinaan pada awal Disember.

No comments:

Post a Comment