Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Suspek kes bunuh anggota majlis bandaran Filipina ditangkap


BUKTI KUKUH: Gambar yang diambil sendiri oleh mangsa, mendiang Dagsa, menunjukkan penembaknya sedang mengacukan pistol bersama rakan subahat (kanan) sebelum beliau dibunuh pada 31 Disember. -- Foto AFP
Cyberita Online Luar Negara: "MANILA: Polis Filipina telah memberkas seorang lelaki yang dikenal pasti melalui gambar yang menunjukkan dia mengacukan pistol ke arah mangsa sejurus sebelum menembak mati mangsanya.

Gambar lelaki itu, Arnel Buenaflor, dipercayai diambil secara tidak sengaja sedang mangsa, mendiang Reynaldo Dagsa, seorang ahli majlis perbandaran, mengambil gambar ahli keluarganya pada 31 Disember lalu.

Ketua Polis, Encik Jimmy Rivera, dari daerah timur laut wilayah Isabela, dilaporkan berkata bahawa Buenaflor diberkas di tempat persembunyiannya di sebuah rumah tumpangan di bandar Aurora, lewat kelmarin.

Gambar itu juga telah membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki, yang dipercayai penembak kedua dan rakan subahat Buenaflor.

Mendiang Dagsa, yang ditembak di tangan dan dada, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Beliau dikatakan aktif membanteras kegiatan jenayah di wilayahnya.

Polis percaya Beunaflor, yang menghadapi tuduhan merompak tetapi bebas setelah diikat jamin, mahu membalas dendam terhadap mendiang Dagsa kerana mengarahkan supaya dia diberkas tahun lalu.

Sementara itu, ketua polis bandar Caloocan, Encik Jude Santos, berkata Buenaflor telah membuat pengakuan kepada pegawai yang memberkasnya bahawa dia telah menembak mendiang Dagsa.

Encik Santos berkata Buenaflor, penembak kedua dan seorang rakan subahat yang bertindak sebagai pengawas akan dikenakan tuduhan membunuh. -- AP."

No comments:

Post a Comment