Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Skandal rasuah di penjara Indonesia

Utusan Malaysia Online - Luar Negara



Kasiem (kanan) bersama pegawai penjara Bojonegoro di Jawa Timur pada 4 Januari lalu. - AFP


JAKARTA 7 Jan. - Apabila Kasiem, 55, dikenakan hukuman penjara tujuh bulan, wanita itu memutuskan dia tidak mahu menjalani hukuman tersebut, lalu dia mengupah seorang wanita lain untuk meringkuk di penjara bagi menggantikannya.
Kasiem disabit kesalahan menjual baja subsidi kerajaan yang dianggap sebagai jenayah di Indonesia tetapi semasa proses pemindahan ke penjara, dia bertukar tempat dengan Karni, seorang balu berusia 50 tahun yang dibayarnya sebanyak Rp10 juta (RM3,454).
Itu merupakan siri terbaru skandal rasuah penjara yang para aktivis mahu pembaharuan sepenuhnya dijalankan segera.
Kes tersebut dibongkar minggu lalu apabila seorang daripada jiran Kasiem melawatnya di penjara, tetapi dia hanya bertemu Karni.
Kasiem ditahan hari berikutnya dan memulakan tempoh hukuman, sementara Karni masih belum didakwa.
Pengarah Yayasan Bantuan Perundangan Indonesia, Erna Ratnaningsih berkata, kejadian itu bukanlah yang pertama berlaku di Pusat Tahanan Bojonegoro, Jawa Timur dan Indonesia.
Satu lagi kes membabitkan bekas ahli perniagaan, Artalyta Suryani yang didapati bersalah merasuah pendakwa raya didapati menikmati rawatan kecantikan menggunakan laser di penjara Jakarta semasa diserbu oleh Pasukan Petugas Bagi Pembasmian Kegiatan Mafia.
"Sistem penjara di sini sangat lemah baik dari segi pentadbiran dan pengawasan. Bagaimana seseorang yang tidak bersalah boleh masuk ke penjara?
"Penjara seolah-olah dilihat sebagai negara mereka sendiri. Sangat sukar bagi mana-mana badan luar untuk masuk membuat pemeriksaan di penjara," katanya kepada AFP.
Katanya, satu pembaharuan sistem penjara menyeluruh termasuk pengawasan serta penyelarasan yang lebih baik perlu dilaksanakan, tetapi usaha itu mungkin terhalang ekoran kelakuan tidak berakhlak pegawai di kalangan anggota polis, pendakwa raya dan hakim sendiri.
"Amat sukar untuk menyelesaikan masalah ini hanya dari sebelah pihak dengan adanya 'mafia undang-undang'. Kami mengesyaki pegawai turut terlibat dalam kes ini," katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment