Search This Blog

Wednesday, January 5, 2011

Sindiket tipu pinjam wang

myMetro | Sindiket tipu pinjam wang




KUALA LUMPUR: Satu sindiket dikesan aktif menipu syarikat pemberi pinjaman wang berlesen dengan menyamar peminjam sebelum menghilangkan diri.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata sindiket itu bukan saja aktif di Lembah Klang, malah di seluruh negara dengan mengemukakan dokumen palsu ketika membuat permohonan pinjaman.

“Terbaru, sebuah syarikat pemberi pinjam wang berlesen di Ampang Jaya hampir ditipu sindiket terbabit yang mahu meminjam RM500,000.

“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan, pihaknya mendapati kenyataan bank yang diberikan ahli sindiket itu palsu,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Penasihat kewangan syarikat itu yang mahu dikenali sebagai Wong berkata, lelaki terbabit yang memperkenalkan diri sebagai Chin Soon berusia 41 tahun datang ke pejabatnya Khamis lalu untuk meminjam wang.


“Saya memintanya menyerahkan salinan kenyataan bank, kad pengenalan dan pendaftaran syarikat. Sebaik menerima kenyataan bank itu, saya terkejut kerana jumlah simpanannya RM613,789.40.

“Selepas itu, saya bertanya kenapa dia masih mahu membuat pinjaman dan lelaki terbabit mendakwa mahu membeli sebidang tanah di Puchong yang berharga RM1 juta,” katanya.

Namun, selepas pemeriksaan, pihaknya mendapati kenyataan bank itu palsu dan jumlah sebenar wang di dalam akaun berkenaan hanya RM5 bukan seperti kenyataan diberikan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, akaun lelaki itu baru saja dibuka pada 15 Disember lalu. Kenyataan bank yang diberikan kepada saya bertarikh 15 September,” katanya.

No comments:

Post a Comment