Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

Rumah nyaris dihempap batu




KAMPUNG GELIGA – “Ketika nyenyak tidur tiba-tiba saya terjaga berikutan rumah bergegar selepas bunyi runtuhan kuat di belakang rumah,” demikian kata warga emas, Ismail Salleh, 73, ketika berdepan saat cemas Bukit Geliga runtuh dalam kejadian jam 6 pagi, 7 Januari lalu.

Menurutnya, gegaran kuat itu bukan sahaja membuatkan anak menantu dan cucunya yang tinggal di sebelah rumah terjaga serta panik, malah jemaah surau di kampung itu yang mahu menunaikan solat Subuh turut mendengar dentuman kuat tersebut.

Ismail berkata, kejadian itu seolah-olah gempa bumi sehingga dia, anak serta cucunya bersiap sedia menyelamatkan diri sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Pada malam sebelum kejadian, hujan lebat berserta angin kuat, justeru saya sudah menjangka kemungkinan akan berlaku tanah runtuh di belakang rumah kami sebab pada petang sebelum kejadian tanah di bukit itu kelihatan jatuh sedikit demi sedikit ke kaki bukit.

“Jangkaan saya benar, bagaimanapun selepas terdengar dentuman kuat itu, saya dan keluarga tidak berani meninjau kawasan belakang rumah kerana keadaan masih gelap dan khuatir sekiranya tanah atas bukit itu akan runtuh lagi,” katanya.

Bercerita lanjut, datuk kepada 30 cucu ini berkata, apabila hari beransur cerah barulah dia berani melihat runtuhan itu dan mendapati sebiji batu besar nyaris menghempap dapur rumah jirannya.

“Patutlah bunyi dentuman itu kuat dan sangat dekat dengan rumah saya, rupa-rupanya batu dari atas bukit turut bergolek ke kaki bukit dan jaraknya hanya beberapa meter sahaja dari rumah saya.

“Pada mulanya saya bimbang pokok turut tumbang selepas tanah runtuh, tetapi saya bersyukur kerana ia tidak berlaku, jika tidak mungkin pokok yang tumbang boleh menghempap rumah berdekatan,” kata bapa enam anak ini.

Sementara itu, kejadian tanah runtuh itu turut mendapat perhatian pemimpin setempat yang turun meninjau kawasan kejadian.

No comments:

Post a Comment