Search This Blog

Saturday, January 8, 2011

Rumah kerap dimasuki air

SH


KOTA BHARU- Penghuni Perumahan Taman Wakaf Stan, dekat Kubang Kerian sudah tidak tahan lagi kerana setiap kali hujan lebat kawasan kediaman mereka digenangi air sedalam kira-kira satu meter.

Penduduk di kawasan berkenaan bukan sahaja tidak selesa dengan keadaan tersebut tetapi mereka juga terpaksa menanggung kerugian apabila peralatan rumah turut ditenggelami air kerana air naik tanpa disedari dan difahamkan juga ada satu keluarga terpaksa berpindah ke rumah keluarganya.

Seorang penghuni, Teo Seng Hue, 40, berkata, sejak empat tahun lalu rumahnya digenangi air disebabkan tiada sistem perparitan yang sempurna.

“Kami penghuni di taman ini sudah memaklumkan kepada pihak pemaju dan juga pemimpin kawasan tetapi sekarang ini kami hanya menunggu masa mereka menunaikan janji-janji untuk membina sistem perparitan di kawasan taman ini.

“Saya sekeluarga sudah serik kerana sejak empat tahun tinggal di sini sebanyak tiga kali rumah kami ditenggelami air,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya dekat sini semalam.

Seng Hue berkata, bukan setakat rumah dimasuki air tetapi kelengkapan rumah termasuk perabot juga rosak.

“Saya menganggarkan kami kerugian kira-kira RM10,000 setiap kali hujan lebat dan ini kali kedua rumah kami dimasuki air pada tahun ini,” katanya.

Seorang penduduk lain, Poo Siau Yin, 32, dia bimbang keselamatan dua anaknya yang berusia tiga dan tujuh tahun kerana air di tingkat bawah rumahnya tidak selamat untuk kanak-kanak.

“Mengikut pengalaman lalu, ia mengambil masa kira-kira seminggu untuk surut, dan sekarang ini saya terpaksa ditinggal di tingkat kedua rumah.

“Saya juga tidak selesa dengan keadaan ini kerana sukar untuk memasak dan saya terpaksa makan di kedai kerana kawasan dapur tidak selamat untuk digunakan, bimbang berlaku renjatan elektrik ekoran air terlalu banyak,” katanya.

Seorang penduduk lain, Faris Abdul Rahim, 31, berkata, keluarganya mengambil inisiatif menggunakan enjin untuk pam air di kawasan rumah, tetapi bagaimanapun ia tidak berhasil kerana air terpalu dalam.

“Saya berharap pihak berkenaan dapat mempercepatkan kerja-kerja mengali parit dan menyediakan sistem perparitan supaya perkara ini tidak berulang lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment