Search This Blog

Saturday, January 22, 2011

RM399 lesap dalam seminit


KOTA BHARU – Seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini, mendakwa diperdaya ejen insurans menyebabkan sejumlah RM399 wangnya lesap dalam tempoh seminit.

Penuntut itu yang hanya mahu dikenali, Nurul, 21, berkata, dia bersama rakannya keluar bersiar-siar di sebuah pasar raya sekitar bandar Kota Bharu pada jam 11 pagi, Sabtu lalu, sebelum didatangi kumpulan ejen insurans berkenaan.

“Mereka berlima dan seorang daripadanya perempuan datang menawarkan pelbagai bentuk insurans kepada saya tetap saya menolaknya, bagaimanapun dia belum berpuas hati dan terus memujuk.

“Ejen berkenaan kemudiannya menawarkan hadiah cabutan bertuah kepada saya dan meminta kad pengenalan serta kad mesin transaksi automatik (ATM) untuk memeriksa sama ada saya layak atau tidak menyertai cabutan bertuah itu,” katanya.

Menurutnya, akibat teruja mendengar bakal mendapat hadiah berkenaan, beliau bagaimanapun menghulurkan dua kad terbabit sebelum diarahkan memasukkan nombor pin pada mesin pembayaran kad kredit.

“Tiga kali dia arah saya supaya masukkan nombor dan kemudian diberikan resit berwarna biru yang saya anggap ia adalah resit cabutan bertuah terbabit,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, sejurus selepas itu beliau dipanggil seorang peniaga kedai pakaian berdekatan lokasi ejen terbabit berlegar dan bertanya sekiranya ada memberi kad ATM kepada ejen tadi.

“Saya mengakuinya lalu dinasihati memeriksa duit dalam akaun bank dan apabila diperiksa, saya dapati RM399 dalam akaun saya lesap.

“Saya pergi ke semula kepada ejen terbabit untuk dapatkan wang tersebut tetapi digertak seorang lelaki rakan kepada ejen yang memperdaya saya tadi,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Saadah Mohamad, 42 berkata, beliau kesal terhadap tindakan ejen yang menjejaskan duit simpanan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk pelajaran anaknya itu.

“Mereka berniaga dengan cara tidak betul dan saya menasihatkan penuntut lain serta orang ramai supaya berhati-hati apabila berdepan dengan peniaga seperti itu.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang serta melaporkan kegiatan mereka kepada pihak polis selepas rundingan secara baik antara saya dengan syarikat berkenaan gagal,” katanya.

No comments:

Post a Comment