Search This Blog

Sunday, January 16, 2011

Restoran kena serbu



JOHOR BAHRU – Taktik yang digunakan majikan untuk menggaji warga asing tanpa sebarang dokumen nyata tidak berhasil apabila sebuah restoran diserbu Jabatan Imigresen kira-kira jam 12 tengah malam, di sini, semalam.

Operasi bermula dari jam 12 tengah malam mula membuat serbuan di sebuah restoran di Taman Universiti, Skudai, di sini, semalam.

Restoran terbabit memulakan perniagaan dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam dengan menghidangkan menu bakso asli dari tukang masak warga Indonesia yang digaji tanpa permit.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor, Mohd Nasir Abas berkata, pihaknya berjaya memberkas 10 warga Indonesia.

“Dari 10 warga Indonesia terbabit, enam daripadanya wanita dan empat lelaki ditahan ketika mereka asyik melayan pelanggan.

“Ketika serbuan dilakukan kesemua mereka yang bekerja di restoran berkenaan sedang sibuk melayan beberapa orang pelanggan,” katanya kepada selepas serbuan berakhir di sini semalam.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati kesemua Pati tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Menurut Mohamad Nasir, hasil siasatan mendapati restoran berkenaan dijadikan sebuah kafe makanan Barat pada siang hari sebelum bertukar menjadi restoran makanan Indonesia di sebelah malam.

Dalam operasi yang berlainan, Jabatan Imigresen turut menahan dua warga Bangladesh yang tidak mempunyai sebarang dokumen.

Dengan tangkapan itu, menjadikan jumlah ditahan 12 orang, kesemua mereka berumur antara 21 hingga 45 tahun.

Kes disiasat mengikut peraturan Imigresen 39 (B) Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua mereka dibawa ke depoh tahanan di Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment